JENAYAH & MAHKAMAH

Kematian Banduan Di Penjara Sungai Buloh Tiada Unsur Jenayah - Polis

30/10/2024 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kematian seorang banduan lelaki berusia 37 tahun di Penjara Sungai Buloh, Ahad lepas, didapati tidak mempunyai unsur jenayah, kata Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor.

Beliau berkata keputusan itu berdasarkan hasil bedah siasat dilakukan pihak Hospital Sungai Buloh, semalam.

Lelaki berkenaan, katanya telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh selepas didapati tidak sedarkan diri semasa dirawat di klinik penjara.

“Pada 10.25 malam (Ahad), petugas Hospital Sungai Buloh mengesahkan bahawa banduan itu telah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat pada 6 petang semalam, pihak hospital mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian dan kes disiasat di bawah Sudden Death Report (SDR) atau mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata laporan kematian diterima pada 10.43 malam daripada warden penjara berkenaan.

Beliau berkata bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah lain yang dilaporkan.

“Hasil bedah siasat diputuskan sebagai menunggu laporan lengkap makmal dan sampel darah telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy