JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Tahan Dua Lelaki Disyaki Seleweng Petrol

31/10/2024 12:16 AM

KANGAR, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan dua lelaki dipercayai cuba menyeleweng petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Arau petang tadi.

Pengarah KPDN Perlis Hasbullah Abd Rashid berkata pemandu kereta itu bersama rakannya masing-masing lelaki berusia 31 dan 32 tahun itu ditahan pada 5.25 petang menerusi penguatkuasaan Inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) KPDN Perlis.

“Tindakan penahanan dilakukan hasil maklumat daripada pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dan Pegawai Risik KPDN Perlis yang mengekori kenderaan Malaysia disyaki mempunyai tangki tambahan yang telah diubah suai untuk membeli minyak petrol di sekitar stesen minyak Kangar dan Arau. 

"Hasil pemeriksaan, pasukan telah menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback di stesen minyak itu dan menjumpai sejumlah bahan cecair disyaki minyak petrol di dalam tangki tambahan yang telah diubah suai itu dan tong 'jerrycan'," katanya dalam kenyataan malam ini.

Hasbullah berkata pihaknya merampas petrol yang dijumpai dalam tangki tambahan diubah suai terbabit dan tong 'jerrycan' yang dianggarkan berjumlah 344 liter serta kereta, kesemuanya dianggar bernilai RM5,560.

Katanya kedua-dua lelaki itu gagal menunjukkan dokumen seperti permit khas semasa pasukan berkenaan menahan mereka dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy