AM

Selangor Tubuh Jawatankuasa Khas, Tambah Baik Peraturan Khidmat Jagaan Kanak-kanak, Warga Emas Dan OKU

01/11/2024 06:19 PM

SHAH ALAM, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) untuk menyemak, menilai serta menambah baik undang-undang berkaitan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di negeri itu.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata untuk tahun pertama penubuhan, jawatankuasa yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze itu akan memberikan tumpuan kepada menambah baik garis panduan serta peraturan berkenaan penjagaan kanak-kanak di Selangor.

Beliau berkata berdasarkan laporan terkini pihak polis, kes penderaan dan penderaan seksual kanak-kanak di Selangor adalah yang tertinggi di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut. 

“Hal ini menunjukkan betapa kritikalnya keperluan untuk menyemak, mengenal pasti kelompangan dan menambah baik sistem perundangan serta garis panduan sedia ada bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata selain aspek keselamatan, garis panduan sedia ada juga akan dikaji dari sudut praktikal untuk menggalakkan lebih ramai pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, warga emas dan OKU mendaftarkan premis itu dengan agensi kerajaan berkenaan.

“Contohnya, syarat untuk menjalankan operasi di rumah penjuru apabila bilangan kanak-kanak dalam jagaan melebihi empat orang yang akan menaikkan kos operasi serta proses memohon kebenaran merancang yang melibatkan fi kepakaran,” katanya.

Beliau berkata penubuhan JKPPP itu juga seiring usaha kerajaan negeri untuk memperbaiki garis panduan berkenaan susulan peningkatan penduduk di Selangor kesan perpindahan orang luar ke negeri itu.

"Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan dijangka meningkat dan untuk itu usaha penambahbaikan ini adalah kritikal bagi memastikan kebajikan dan keselamatan golongan paling terdedah terjamin,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy