ABU DHABI, 1 Nov (Bernama-WAM) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kejayaan kemasukan 12 trak membawa bantuan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, melalui Sempadan Erez (utara Gaza) dan Sempadan Karam Abu Salem (selatan Gaza), dengan kerjasama Bantuan Pelarian Timur Dekat Amerika (Anera).
Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), penghantaran baharu ini – antara yang pertama memasuki Semenanjung Gaza sejak Oktober – melibatkan 12 trak membawa 150 tan bantuan kecemasan dan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan 30,000 orang.
Sultan Mohammed Al Shamsi, Pembantu Menteri Hal Ehwal Luar bagi Hal Ehwal Pembangunan dan Pertubuhan Antarabangsa menegaskan, bantuan kemanusiaan berterusan UAE ke Gaza mencerminkan komitmen bersejarah dan teguh negara itu dalam menyokong rakyat Palestin.
UAE sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk menangani keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza.
Beliau berkata: “UAE amat komited untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan melaksanakan inisiatif bantuan kemanusiaan sama ada melalui laluan darat, laut atau udara.
“Setakat ini, UAE menyediakan lebih 40,000 tan bantuan kecemasan segera dan akan meneruskan usaha meluas dan peranan peneraju bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan antarabangsa untuk memastikan penghantaran bantuan dengan segera, selamat dan tanpa halangan melalui semua cara yang mungkin.”
-- BERNAMA-WAM