EKONOMI

Pertumbuhan ASEAN Diunjur Kukuh Pada 4.6 Peratus - IMF

01/11/2024 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan bagi negara anggota ASEAN diunjur pada 4.6 peratus pada 2024 dan pada 4.7 peratus pada 2025, sebahagian besarnya disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat.

Dalam laporan ‘Outlook for Asia and the Pacific: Resilient Growth but Higher Risks’ (Prospek untuk Asia dan Pasifik: Pertumbuhan Berdaya tahan tetapi Risiko Lebih Tinggi), ia berkata Indonesia, Filipina dan Vietnam masing-masing dijangka berkembang pesat (lima peratus dan ke atas bagi tempoh dua tahun), bagaimanapun aktiviti di Thailand kekal lemah (pertumbuhan 2.8 peratus pada 2024 dan 3.0 Peratus pada 2025).

Sementara itu, IMF mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia sebanyak 4.8 peratus untuk tahun ini dan 4.4 peratus pada 2025.

Walaupun pertumbuhan di Asia diunjurkan perlahan pada 2024 dan 2025, mencerminkan sokongan yang semakin berkurangan dalam tempoh pemulihan pasca pandemik COVID-19 dan faktor seperti penuaan populasi, prospek jangka pendek lebih menguntungkan daripada dijangka pada bulan April.

IMF berkata pertumbuhan serantau pada 2024 telah disemak semula pada 0.1 mata peratusan kepada 4.6 peratus, mencerminkan prestasi kukuh pada awal tahun.

“Dengan ini, rantau Asia dan Pasifik dijangka menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pertumbuhan global tahun ini. Kekuatan kekal tertumpu dalam ekonomi pasaran baharu muncul.

“Sebaliknya, pertumbuhan untuk negara-negara maju adalah perlahan berikutan penggunaan swasta yang kurang memberangsangkan dan gangguan pengeluaran bagi sementara waktu yang berlaku di Jepun pada awal 2024,” katanya.

Untuk 2025, pertumbuhan bagi rantau ini juga telah dinaikkan sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 4.4 peratus, memandangkan keadaan monetari global dan domestik yang lebih longgar dijangka meningkatkan permintaan swasta terutamanya di negara maju.

Ia berkata prospek itu tertakluk kepada ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, katanya.

Mengenai inflasi, inflasi purata diunjurkan turun kepada 2.2 peratus pada 2024 sebelum dijangka naik kepada 2.6 peratus pada 2025.

Dalam pada itu, dasar monetari dan kadar pertukaran, IMF menekankan bahawa pada separuh pertama 2024, kebanyakan bank pusat di Asia mengekalkan kadar dasar faedah, mencerminkan kebimbangan mengenai tekanan susut nilai jika mereka menurunkan kadar faedah sebelum Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) melakukannya.

Ia berkata trend menurun baru-baru ini berdasarkan jangkaan terhadap kadar faedah Fed AS dan permulaan kitaran pelonggarannya telah meredakan kekangan tersebut dan sepatutnya memberi lebih banyak skop kepada bank pusat di Asia untuk menyesuaikan dasar seiring dengan keperluan domestik seperti dilakukan oleh beberapa bank pusat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy