DUNIA

Menteri Agama Malaysia Adakan Pertemuan Dengan Rakan Sejawat Di Indonesia

02/11/2024 10:57 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Nov (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Agama Indonesia Nasaruddin Umar di luar World Zakat and Waqf Forum 2024 di sini, malam tadi.

Pertemuan itu membincangkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, selain bertukar pandangan mengenai inovasi dan masa depan pengelolaan zakat dan wakaf.

Kedua-dua menteri turut berkongsi pengalaman dalam mempertingkatkan kecekapan tadbir urus zakat dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti "blockchain" dan kecerdasan buatan (AI), serta memperkukuh kerjasama antara Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Indonesia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Malaysia.

Mohd Na’im, yang diiringi Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, mengadakan perbincangan kira-kira 45 minit bersama Nasaruddin di Pusat Konvensyen Jakarta.

Beliau turut mencipta sejarah sebagai menteri Malaysia pertama yang melawat Indonesia selepas pelantikan pemerintahan baharu Presiden Prabowo Subianto bagi penggal 2024-2029 pada 20 Okt lalu.

Lawatan kerja rasmi Mohd Na’im, atas jemputan pemerintah Indonesia dari Jumaat hingga Ahad, diadakan bersempena forum yang dihadiri wakil dari 43 negara melibatkan cendekiawan, usahawan, belia dan pelbagai pihak berkepentingan.

Mohd Na’im dijadual menyampaikan ucaptama pada forum itu Sabtu, dan kehadirannya diharap dapat memperkukuh peranan dan imej Malaysia dalam pengelolaan zakat dan wakaf yang progresif.

“Zakat dan wakaf merupakan dua tonggak penting yang memainkan peranan signifikan dalam usaha membasmi kemiskinan,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dapat diperluas ke negara serantau seperti Brunei dan Singapura, memandangkan potensi umat Islam di Nusantara untuk memanfaatkan sumber zakat dan wakaf adalah sangat besar.

“Insya-Allah, saya akan bekerjasama dengan Menteri Nasaruddin dalam mempromosikan dan memajukan inisiatif zakat dan wakaf di seluruh Nusantara,” kata Mohd Na’im.

Delegasi beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan organisasi Islam tempatan seperti Majelis Ulama Indonesia dan Nahdlatul Ulama serta melawat Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy