DUNIA

Malaysia Perkasakan Wakaf Dan Zakat Sebagai Pemacu Pembangunan Sosioekonomi

02/11/2024 09:20 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Nov (Bernama) -- Malaysia memperkukuh komitmennya kepada Ummah dengan menekankan pemerkasaan wakaf dan zakat sebagai alat penting untuk pembangunan sosioekonomi yang mampan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam ucapan khas di Sidang Kemuncak dan Persidangan Tahunan Forum Zakat dan Wakaf Sedunia 2024, beliau menggariskan bagaimana wakaf didefinisikan semula bukan sahaja sebagai mekanisme kebajikan sosial, tetapi juga sebagai platform penting untuk kewangan sosial, pelaburan impak, dan pemerkasaan komuniti.

Beliau menekankan pemodenan pengurusan zakat di Malaysia, memastikan dana sampai dengan cekap kepada golongan yang paling memerlukan dan mengukuhkan zakat sebagai teras keadilan ekonomi.

“Malaysia sedang mendahului dalam ekonomi Islam inovatif dengan menggunakan teknologi bagi memudahkan pengurusan wakaf dan zakat agar lebih mudah diakses dan telus,” katanya pada forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta pada Sabtu.

Dengan kemajuan dalam teknologi kewangan Islam, “blockchain” untuk wakaf, dan platform digital untuk zakat, Malaysia menetapkan standard untuk ekonomi Islam yang berteknologi, berlandaskan belas ihsan, keadilan, dan kemakmuran bersama.

Contoh utama komitmen ini ialah kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dan platform digital GoBarakah, yang mengubah cara pemberian amal dengan meningkatkan ketelusan, kepercayaan, dan keterangkuman.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkemaskan operasi, tetapi juga memadankan penerima manfaat dengan keperluan khusus, memupuk kerjasama yang pantas dan berkesan, kata Mohd Na’im.

Dalam era ketidaksamaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bekas hakim Mahkamah Syariah itu menekankan keperluan mendesak untuk keadilan ekonomi, dengan menegaskan bahawa tujuan utama zakat dalam pengagihan kekayaan dapat membantu merapatkan jurang berkenaan.

Beliau menggambarkan zakat sebagai “instrumen transformasi” untuk menyokong pendidikan, penjagaan kesihatan, dan keperluan asas, sambil mengakui bahawa ia tidak dapat memacu perubahan sosial secara bersendirian.

Dengan merujuk kepada Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Indonesia, beliau menekankan  keberkesanan kutipan zakat digital dalam mencapai jutaan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Mohd Na’im turut menyeru kepada Orde Dunia Islam Baharu yang merangkumi reformasi rohani, ekonomi, intelektual, dan budaya untuk memastikan akses kepada peluang dan penghormatan bagi semua.

Menyokong pendekatan holistik, beliau menggalakkan peningkatan kesedaran dan penglibatan belia untuk melihat zakat dan wakaf sebagai alat dinamik untuk perubahan.

Beliau turut menyentuh inisiatif “Wakaf Pintar” di Singapura sebagai contoh inspirasi bagaimana teknologi “blockchain” meningkatkan ketelusan dan memupuk budaya memberi.

Ketika Malaysia terus mara dalam landskap inovatif ini, potensi wakaf dan zakat untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memacu perubahan bermakna lebih besar daripada sebelumnya, katanya sambil mengajak semua untuk turut serta dalam perjalanan transformasi ini.

Forum dua hari bermula Jumaat itu dihadiri oleh wakil dari 43 negara, termasuk golongan cendekiawan, usahawan, dan belia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy