Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Presiden Prabowo Subianto akan melakukan lawatan negara ke Beijing dari 8 hingga 10 November, atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, menurut Kementerian Luar Indonesia.
Semasa lawatan itu, Prabowo dijadualkan bertemu dengan Presiden Xi dan pemimpin kanan China yang lain, kata kementerian itu.
“Lawatan ke China ini penting bagi memperkukuh komitmen untuk mempereratkan kerjasama strategik menyeluruh antara Indonesia dan China dalam pelbagai sektor,” menurut kenyataan kementerian itu.
Selepas beliau dilantik pada 20 Oktober, ini akan menjadi lawatan antarabangsa pertama Prabowo sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029, menggantikan Joko Widodo.
-- BERNAMA