PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Empat kertas kerja dibentangkan pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) kali kedua yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, hari ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas kerja berkenaan berhubung cadangan pindaan terhadap Tatacara Keharmonian Perusahaan 1975, garis panduan pelaksanaan aturan kerja fleksibel, pindaan terkini Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Peraturan-Peraturan Perhubungan Perusahaan serta pindaan terkini Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Peraturan-Peraturan 2024.
Menurut KESUMA, pelaksanaan mesyuarat NLAC kali kedua tahun ini telah membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kerjasama tripartite antara kerajaan, majikan dan pekerja untuk meneruskan konsultasi dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan dasar, undang-undang serta amalan pekerjaan.
“Ini adalah usaha untuk menangani isu perburuhan dengan tujuan memperbaiki keadaan dan amalan pekerjaan serta meningkatkan produktiviti,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan telah dihadiri wakil-wakil kerajaan, majikan dan pekerja.
-- BERNAMA