KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa memiliki satu lagi peluang untuk membuktikan kehebatannya bersama pasukan negara selepas penampilan yang mengecewakan pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, awal tahun ini.
Ini kerana pemain berusia 38 tahun itu berada dalam senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Pau Marti Vicente ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan ini.
"Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, Vincente mengekalkan seramai 20 daripada 26 pemain dari skuad yang dibawa ke Auckland, New Zealand bagi kem latihan pusat pada Oktober lalu,” menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Enam pemain baharu dalam skuad kali ini ialah Insa, Haziq Nadzli (Perak FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC) dan ketua pasukan Dion Cools yang beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United.
Sebagai rekod, Insa mengumpul dua penampilan bersama Malaysia, masing-masing ketika perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mac 2018 dan kekalahan 0-1 di tangan Bahrain dalam aksi saingan kumpulan Piala Asia 2023.
Pada penampilan keduanya di Qatar, penyokong Harimau Malaya memberikan komen negatif terhadap prestasinya yang dianggap gagal memberi impak kepada pasukan kendalian bekas ketua jurulatih Kim Pan Gon, terutama di bahagian tengah.
Pasukan negara dijadual menjalani latihan selama dua hari di Wisma FAM di Kelana Jaya bermula Ahad ini sebelum berlepas ke Bangkok pada Selasa (12 Nov).
Malaysia akan menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok pada 14 Nov sebelum berlepas ke India untuk bertemu pasukan tuan rumah yang diberi julukan The Blue Tigers di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada 18 Nov.
Dalam pada itu, Vicente turut menamakan 10 pemain dalam senarai bersedia jika terdapat perubahan.
Berikut senarai nama 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 10 Nov:
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed | JDT |
Matthew Davies | JDT |
Muhamad Feroz Baharudin | JDT |
Arif Aiman Mohd Hanapi | JDT |
Romel Morales | JDT |
Natxo Insa | JDT |
Muhammad Safawi Rasid | Terengganu FC |
Muhammad Akhyar Abdul Rashid | Terengganu FC |
Safwan Mazlan | Terengganu FC |
Muhammad Azam Azmi Murad | Terengganu FC |
Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili | Terengganu FC |
Nooa Hamzah Laine | Selangor FC |
Harith Haiqal Adam Afkar | Selangor FC |
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi | Selangor FC |
Dominic Tan | Sabah FC |
Daniel Ting | Sabah FC |
Stuart Wilkin | Sabah FC |
Muhammad Azri Ab Ghani | Kuala Lumpur City FC |
Paulo Josue | Kuala Lumpur City FC |
Muhammad Haqimi Azim Rosli | Kuala Lumpur City FC |
Mohamed Syamer Kutty Abba | Penang FC |
Muhammad Adib Abdul Ra’op | Penang FC |
Muhammad Syafiq Ahmad | Kedah Darul Aman FC |
Muhammad Haziq Nadzli | Perak FC |
Sergio Aguero | Pahang FC |
Dion Cools | Buriram United |
-- BERNAMA