PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Susulan Keputusan Pilihan Raya AS

06/11/2024 08:19 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini, mengakhiri kenaikan dua hari berturut-turutnya apabila keputusan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) mula diperoleh, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.4000/4070 berbanding paras penutup 4.3415/3505 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd  Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata calon Republican Donald Trump dilihat mendahului persaingan sebagai bakal presiden dan ini menyemarakkan lagi pandangan kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan dasar fiskal pengembangan yang bakal membentuk ekonomi AS pada 2025.

“Ketidakpastian adalah bagaimana Rizab Persekutuan (Fed) akan bertindak balas terhadap maklumat terkini -- sebagai contoh, keputusan pilihan raya-- walaupun perubahan dasar sebenar atau semakan semula akan mengambil sedikit masa.

"Kami percaya Fed mungkin mahu menurunkan lagi Kadar Dana Persekutuan minggu ini dan barangkali pada Disember," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, tahun depan bank pusat AS itu mungkin mengambil pendekatan berhati-hati terhadap risiko inflasi yang lebih tinggi berikutan antara lainnya kemungkinan perubahan dalam dasar utama, iaitu mengenai tarif, pengusiran beramai-ramai pendatang tanpa izin dan langkah pemotongan cukai kekal (langkah yang digubal pada 2017).

"Buat masa ini, ketidakpastian bermakna permintaan terhadap dolar AS dan oleh itu, kita akan melihat ringgit diniagakan dalam dagangan berhati-hati," katanya.

Sementara itu, pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Trump kemungkinan besar bakal menduduki kembali Rumah Putih susulan sokongan besar dari Pennsylvania.  

“Apabila Associated Press mengunjurkan Trump bakal menang, ringgit jatuh serta-merta, turun 1.3 peratus untuk didagangkan pada 4.40, dengan potensi penurunan yang lebih besar sekiranya Trump meneruskan janjinya untuk mengenakan kadar tarif 60 peratus ke atas (barangan dari) China. 

Menurut Innes, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS hanya meningkat sebanyak 11 mata asas, dengan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan masih mengharapkan penurunan kadar Fed esok, yang boleh mengehadkan pergerakan dolar minggu ini.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain. 

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.6751/6841 daripada paras penutup 5.6361/6478 pada Selasa, turun berbanding yen Jepun kepada 2.8558/8606 daripada 2.8525/8586 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.7313/7388 daripada 4.7283/7381.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3073/3128 daripada 3.2953/3023 pada Selasa, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 277.8/278.4 daripada 275.6/276.3 sebelumnya dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.51 daripada 7.44/7.46. 

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8768/9048 daripada 12.9165/9491 pada Selasa. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy