AM

Selepas 19 Tahun, 'Uncle Umar' Akhirnya Bersua Muka Dengan Desmond

07/11/2024 11:45 AM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Niat Umar Kamaruddin atau dikenali sebagai Uncle Umar untuk bertemu dan lepak di kedai mamak dengan Desmond Kwek Bo Yang, kanak-kanak lelaki yang diselamatkan daripada hampir lemas 19 tahun lepas, akhirnya menjadi kenyataan apabila bersua muka buat kali pertama pada Ahad.

Pertemuan empat mata itu berjaya direalisasikan di sebuah restoran mamak di Bangsar dalam suasana penuh emosi, yang tidak hanya menyambung semula tali persahabatan yang terputus hampir dua dekad itu, namun juga turut diibaratkan bagai bapa bertemu kembali anaknya yang dirindui sejak sekian lama itu.

Biarpun agak singkat perjumpaan antara mereka berikutan kekangan jadual yang padat, namun ia sangat bermakna bagi Umar, 67, apabila dapat melihat kembali Desmond yang kini berusia 26 tahun dan menetap di Tokyo, Jepun, kanak-kanak yang dahulunya bertubuh kecil, kini sudah meningkat dewasa.

“Seperti dijanjikan, kami bertemu di restoran mamak. Walaupun tidak dapat lepak lama, tapi saya hargai masa yang ada itu. Pertemuan itu sangat singkat, kira-kira 30 minit kerana kami masing-masing ada urusan dan restoran itu juga tutup awal.

“Desmond hanya pulang untuk beberapa hari sahaja atas urusan tertentu dan saya pula ada urusan keluarga di Kuala Kangsar. Namun, saya curi juga sedikit masa pada Ahad malam itu sebelum Desmond pulang ke Jepun. Dia juga belanja saya minum di restoran itu,” katanya kepada Bernama.

Banyak berborak berkisar kehidupan masing-masing selepas insiden tersebut semasa pertemuan singkat itu, kisah Uncle Umar dan Desmond menjadi tular pada 15 Jun, susulan laporan eksklusif Bernama mengenai hasrat pesara polis itu bertemu kembali kanak-kanak yang pernah diselamatkannya 19 tahun lepas.

Tidak menyangka hasratnya itu menjadi kenyataan, keterujaan Umar bertemu dengan Desmond membuatkannya merasakan perjumpaan 30 minit itu tidak cukup dan sekali lagi menghubungi anak sulung daripada tiga beradik itu untuk bertemu sebelum pulang semula ke Jepun, keesokan harinya.

“Saya rasa sungguh terharu sebab budak yang saya selamatkan dulu sudah besar. Seronok betul dapat berjumpa dan Desmond, ceritakan yang dia telah cuba sedaya upaya mencari saya sebelum ini namun masalah komunikasi sebelum ini susah. Jadi, dia cakap terima kasih kerana cari dia menerusi Bernama.

“Saya tengok dia amat gembira, dia cerita dapat belajar dan kerja di Jepun. Banyak perkara yang dia ingin belajar di negara itu dan saya doakan dia berjaya sepenuhnya. Saya doakan, satu hari nanti beliau akan menjadi pembuat filem,” katanya yang menambah banyak lagi perkara ingin dikongsikan namun kesuntukan waktu.

Umar berkata Desmond juga mengucapkan terima kasih kerana sudi untuk bertemu dengannya dan berharap agar mereka dapat bertemu lagi dengan lebih lama, apabila beliau mendapat cuti  lebih panjang selepas ini.

“Dia cuti pendek sebab baru kerja. Di Jepun, kena berdisiplin dan tepat masa ketika berkerja. Mungkin kalau sudah lama kerja, baru boleh cuti akan panjang. Dia rancang kalau cuti panjang, dia akan hubungi saya untuk berjumpa semula, mungkin tahun depan, belum pasti bila. 

“Sebelum balik, Desmond ada juga minta alamat saya, katanya mahu menghantar sesuatu kepada saya dari Jepun. Dia kata ikhlas dari hati,” katanya.

Desmond yang kini bekerja sebagai gaffer di Tokyo, berasal dari Kuala Lumpur, dan minat yang mendalam dalam bahasa Jepun telah membawanya berpindah ke Negara Matahari Terbit itu untuk melanjutkan pelajaran dalam Kursus Penerbitan Filem dan Drama (Diploma), di Kolej Seni Penyiaran di Osaka pada 2022.

Dalam insiden 19 tahun lepas, Umar telah menyelamatkan Desmond daripada lemas di kolam renang KL Plaza Suites, yang kini dikenali sebagai Fahrenheit Suites, pada 8 Mei 2005.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy