AM

KPM Ambil Langkah Proaktif Capai Aspirasi PPPM 2013-2025

07/11/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif dalam mengatasi isu-isu berbangkit berkaitan ekosistem pendidikan negara, bagi mempercepat pencapaian aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata sehubungan itu, enam pasukan petugas khas yang ditubuhkan di bawah reformasi pendidikan akan berperanan memacu agenda pemerkasaan pendidikan negara.

“Kita tahu negara kita bahkan seluruh dunia dilanda Covid-19 dan disebabkan itu terdapat elemen disruptive yang berlaku kepada sistem pendidikan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia.

“Jadi untuk memastikan kemajuan PPPM 2013-2025 tidak terus terkesan dengan isu ini, kita telah wujudkan enam pasukan petugas ini yang memberi tumpuan kepada kurikulum; selain pemerkasaan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) digital; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional; prasekolah; dan inisiatif Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel program Business Finance Malaysia (BFM) CEO Forum Berhubung Reformasi Pendidikan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tumpuan utama digariskan KPM, Zainal berkata langkah proaktif yang diambil bukan sahaja untuk menggerakkan PPPM, tetapi melihat juga kepada keperluan ekosistem pendidikan sedia ada ketika ini.

“Ketika ini, kalau sebut dasar 60:40 dalam bidang STEM, kita berada pada kadar 50.83 peratus secara puratanya, jadi usaha berterusan kita ialah menggalakkan lebih banyak murid terlibat dalam bidang STEM dengan mengadakan pelbagai program.

“Antara program yang dilaksanakan seperti program bersama Yayasan Petronas iaitu Program Duta Guru, membantu mempertingkatkan tahap kompetensi guru dalam bidang ini serta mempelbagaikan kaedah pembelajaran dalam bilik darjah dengan aktiviti hands on yang boleh menarik minat murid untuk ikuti program berasaskan STEM,” katanya.

Bagi bidang digital pula, Zainal berkata Dasar Pendidikan Digital (DPD) KPM yang baharu diperkenalkan ini akan dipacu pasukan petugas yang ditubuhkan, sekali gus memastikan ia sampai sehingga ke peringkat sekolah, diterima dan diguna pakai para guru.

“Pelaburan lebih RM40 juta tahun lepas untuk membina digital hub di Pusat Kegiatan Guru juga bertujuan memperkasakan bidang digital dan meningkatkan kompetensi guru serta mencapai aspirasi DPD itu sendiri.

“Usaha ini juga untuk memberi ruang kepada murid menggunakan kaedah digital dalam pembelajaran mereka dan guru-guru pula berpeluang menggunakan fasiliti tersebut untuk meningkatkan pengetahuan mereka,” katanya.

Dalam mendepani isu murid Tahun 1 yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), Zainal berkata KPM telah melaksanakan Program Intervensi Tahun 1.

“Berdasarkan saringan pengesanan awal literasi dan numerasi yang kita laksanakan untuk melihat tahap penguasaan murid, didapati sebahagian murid yang tidak menguasai tahap minimum literasi dan numerasi ini, adalah mereka yang tidak pergi prasekolah.

“Jadi melalui pasukan petugas yang ada, kita benarkan pembukaan prasekolah bukan sahaja di sekolah rendah tetapi juga di sekolah menengah kalau ada ruang dan kita dapat tempatkan guru dan ada permohonan atau keperluan…di Institut Pendidikan Guru (IPG) juga kita buka dan hampir kesemuanya 27 IPG telah ada prasekolah,” katanya.

Zainal berkata menjadi hasrat KPM untuk memastikan kurikulum disediakan di prasekolah adalah standard, supaya murid dapat mencapai tahap penguasaan dikehendaki, selain menyediakan akses pendidikan awal kanak-kanak agar kualiti murid yang memasuki Tahun 1 kelak, mencapai standard diperlukan.

Dalam pada itu, Zainal berkata bagi memastikan lebih ramai pelajar mengikuti bidang TVET, sesi libat urus bersama pihak industri dipergiat bagi memastikan apa yang dipelajari sesuai keperluan industri.

“Pasukan petugas berkaitan TVET pula, lebih kepada untuk menggalakkan lebih ramai murid ceburi bidang TVET…dalam perkara itu, menteri juga telah turun padang bertemu pihak industri bulan lepas untuk memahami bagaimana sistem pendidikan di Malaysia mampu menampung keperluan industri pada masa akan datang,” katanya.

Zainal berkata program libat urus yang diadakan bersama pihak berkepentingan seperti dianjurkan BFM itu sangat penting, bagi memastikan matlamat yang ingin dicapai antara kementerian dengan pihak berkepentingan dapat diselaraskan, sekali gus mengatasi kepincangan yang ada secara bersama.

“Program anjuran BFM ini bertujuan menerangkan inisiatif dan informasi yang sedang kita laksanakan…kalau kita lihat peserta program ini selain dalam talian, kebanyakkan mereka pihak berkepentingan di kementerian dan badan swasta yang melaksanakan program pendidikan.

“Peluang ini kita gunakan juga untuk terangkan reformasi yang sedang dilaksanakan KPM ke arah pencapaian matlamat PPPM, bahkan lebih daripada itu untuk melahirkan masyarakat yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa sebagai mana diaspirasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy