AM

LHDN Terus Perkukuh Budaya Inovasi, Integriti Sebagai Asas Dalam Pentadbiran Percukaian

07/11/2024 05:40 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus memperkukuh budaya inovasi dan integriti sebagai asas dalam pentadbiran percukaian demi mewujudkan persekitaran yang telus, adil serta bebas rasuah sekaligus menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan negara. 

LHDN berkata Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2024 (HII 2024) telah diadakan hari ini bagi menyemarakkan semangat inovasi dan integriti dalam kalangan warga LHDN.

Sambutan itu juga bertepatan dengan hasrat Malaysia MADANI yang menitikberatkan tonggak keadilan, nilai-nilai integriti dan amalan tatakelola yang baik.

"Selain itu, ia turut menjadikan elemen daya cipta sebagai salah satu daripada enam teras yang memangkinkan penciptaan idea-idea kreatif dan inovatif untuk memastikan LHDN berdiri teguh sebagai pentadbir cukai langsung negara yang diyakini, disegani serta dipercayai oleh rakyat," menurut LHDN dalam kenyataan hari ini.

LHDN berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dalam ucapan perasmian sambutan hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada LHDN atas usaha berterusan mengangkat inovasi dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya. 

Selain itu Johan berkata pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan menerusi inovasi pentadbiran dan ekonomi telah memperlihatkan perubahan yang positif seperti kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah meningkat, ekonomi negara terus berkembang pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2025 dan defisit fiskal tahun 2025 disasarkan pada 3.8 peratus, menandakan potensi peningkatan daripada 4.3 peratus pada 2024.

Justeru beliau menyeru komitmen profesional LHDN ke arah pencapaian yang lebih tinggi serta menjadikan inovasi dan integriti sebagai pandu gerak pengoperasian yang lebih cemerlang demi kesejahteraan ekonomi dan kelangsungan rakyat.

Sementara itu LHDN memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menyeru LHDN terus meneroka dan mengintegrasi elemen-elemen inovasi dan integriti yang akan membuka gerbang kepada kecemerlangan yang berterusan. 

Abu Tariq berkata LHDN akan terus komited, telus dan adil dalam membina sistem percukaian negara yang cekap dan efisien agar keberhasilannya memberi manfaat dan kebaikan optimum buat semua.

Bersempena dengan sambutan HII 2024, empat produk baharu merangkumi teknologi dan perkhidmatan profesional telah dilancarkan iaitu STAMPS Genius Payment, Digital Pentadbiran: Modul Gaji dan Elaun, HASiL EA – Pemantauan Pelan Korporat LHDN dan  Dashboard Interaktif Pematuhan Audit Cukai.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy