Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur terus ditutup bercampur-campur pada Khamis, disokong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan data ekonomi China yang menggalakkan berikutan pengesahan China untuk mengekalkan pemulihan ekonominya, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh gangguan bekalan getah asli oleh negara pengeluar tetapi kenaikan seterusnya dikekang oleh ketegangan berterusan di Asia Barat.
Katanya niaga hadapan getah Jepun melonjak untuk tiga sesi dagangan berturut-turut, menjejaki harga minyak global yang kukuh tetapi peningkatan terjejas oleh yen yang mengukuh.
“Dilaporkan, agensi meteorologi negara pengeluar getah utama, Thailand mengeluarkan amaran mengenai angin kencang dan hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat bermula 6 Nov hingga 12 Nov, termasuk di wilayah selatan,” katanya kepada Bernama.
Katanya People's Bank of China mengesahkan China akan terus melaksanakan dasar monetari sokongan untuk membantu mengekalkan pemulihan ekonomi.
“Data kastam China pada Khamis menunjukkan imbangan dagangan negara itu melonjak melebihi jangkaan pada Oktober kepada US$95.27 bilion (US$1 = RM4.40).
“Eksport menaik melebihi jangkaan sebanyak 12.7 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober berikutan permintaan dari luar negara dan pengeluaran tempatan yang kukuh ketika sektor perkilangan menyegerakan inventori kepada pasaran eksport utama berikutan jangkaan tarif dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah,” tambahnya.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menokok 17.5 sen kepada 891 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot tujuh sen kepada 680 sen sekilogram.
Pada 5 petang, SMR 20 kekal pada 891.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 673.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA