EKONOMI

Malaysia Bersedia Hadapi Era Baharu Pelaburan, Disokong Visi Ekonomi Jelas - Amir Hamzah

07/11/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia bersedia menghadapi era baharu pelaburan, disokong oleh visi yang jelas untuk mentransformasikan ekonomi dan komitmen menarik pelaburan sejajar dengan pertumbuhan tinggi negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama, menarik pelaburan bernilai tinggi, seperti yang digariskan dalam Aspirasi Pelaburan Baharu.

“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, rangka kerja Ekonomi MADANI akan meneruskan fokus untuk mencergaskan semula ekonomi, memacu pembaharuan dan memakmurkan negara,” katanya semasa berucap pada pelancaran Portal InvestMalaysia, hari ini.

Antara landskap pelaburan yang semakin berkembang di Malaysia adalah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), serta Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu yang dijangka diumumkan pada suku pertama 2025.

Amir Hamzah berkata, rangka kerja itu bertujuan untuk membuka saluran baharu kepada pelabur, termasuk insentif cukai dan dana pelaburan strategik.

Selain itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan juga komited untuk menyalurkan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pelaburan langsung domestik ke arah industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, katanya.

“Pembaharuan ini disokong oleh asas kukuh kita, mengukuhkan daya tahan kita dan memaksimumkan potensi pertumbuhan rantaian bekalan tempatan – seterusnya meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ideal dan selamat yang menjanjikan pulangan tinggi,” katanya.

Sementara itu, kerajaan hari ini melancarkan portal InvestMalaysia (www.investmalaysia.gov.my) untuk menyediakan kepada pelabur maklumat penting mengenai pelaburan di Malaysia.

Portal itu bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik dengan mengetengah dan mempromosikan peluang pelaburan yang menarik dalam pasaran kewangan Malaysia kepada pelabur domestik dan asing

“Pelabur boleh mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai dasar ekonomi dan pelaburan Malaysia, serta mendapatkan maklumat masa nyata bukan sahaja mengenai peluang pelaburan yang ditawarkan Malaysia, tetapi juga untuk memanfaatkan sepenuhnya langkah-langkah yang relevan.

“Portal itu juga akan membawa pelabur ke tempat yang betul dan memaut ke laman web agensi berkaitan berdasarkan pelaburan pilihan mereka. Matlamatnya adalah untuk memperkasakan pelabur agar dapat menilai secara bebas prospek ekonomi Malaysia dan meneroka peluang pelaburan yang ditawarkan negara,” katanya. 

Beliau berkata Portal InvestMalaysia menandakan kemajuan penting dalam usaha merapatkan jurang antara hasrat dan tindakan pelaburan, memudahkan akses untuk pelabur, dan menjadikan landskap pelaburan Malaysia lebih mudah dilayari dan bermanfaat.

“IRO dan portal InvestMalaysia akan bertindak sebagai jurupandu bagi pelabur portfolio yang berhasrat menyertai pasaran negara,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata platform itu umpama pengantara (arbiter) keutuhan makroekonomi dan potensi pelaburan Malaysia

“Dalam dunia pasca kelimpahan ini, selalunya, bukan maklumat yang kita kurang tetapi lebih merupakan mekanisme untuk membantu kita membuat keputusan dan menilai pilihan kita. Usaha ini adalah penting bagi Malaysia ketika kita mempercepatkan pembaharuan struktur untuk mengukuhkan prospek ekonomi jangka panjang Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy