GEORGE TOWN, 7 Nov (Bernama) -- Bapa dan anak perempuannya maut dipercayai ditikam seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 12.54 tengah hari mengenai seorang individu dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri itu.
"Polis kemudian terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di hadapan lobi lif pangsapuri berkenaan, tiga orang yang kesemuanya warga tempatan ditemukan terbaring dalam keadaan berdarah.
"Mangsa seorang lelaki berusia 62 tahun bersama anak perempuannya berumur 30 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dipercayai ditikam," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 32 tahun, yang dipercayai suspek dalam kejadian itu, telah ditahan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat cedera dipercayai kerana mengelar serta menikam diri sendiri.
Hamzah berkata polis percaya kes itu telah diselesaikan susulan penahanan suspek dan rampasan pisau yang digunakan, dengan siasatan ketika ini menjurus kepada menyiasat motif dari pelbagai sudut.
"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
--BERNAMA