KOTA BHARU, 8 Nov (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit bernilai hampir RM10,000 di Pangkalan Haram Pasir, Rantau Panjang hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata rampasan dilakukan apabila sepasukan anggota ternampak sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan semasa Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan.
“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan kereta setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai kotak barang runcit dipercayai diseludup dari Thailand di dalam kereta berkenaan dengan anggaran nilai RM9,360," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 dan barang rampasan dibawa ke Komtak Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA