Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 8 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata beliau masih belum menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Rakyat akan dimaklumkan sebaik sahaja proses itu bermula, kata Wong sambil menambah beliau mempunyai “masa sehingga hujung tahun depan” untuk menentukannya.
PRU seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya November 2025.
Wong turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) masih belum dibentuk.
“Apabila tiba masanya, kami akan mengumumkannya seperti biasa. Kami tidak akan melakukannya secara senyap,” katanya pada sidang akhbar bersama media tempatan, pada Jumaat.
Pilihan raya umum sebelum ini diadakan antara satu hingga tiga bulan selepas laporan Jawatankuasa Semakan Semula Sempadan Kawasan Pilihan Raya dikeluarkan.
Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata persiapan untuk Belanjawan 2025 telah bermula, dengan rundingan prabelanjawan dijadualkan bermula bulan depan.
Beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada beberapa tema utama, seperti strategi ekonomi; peluang, peningkatan kemahiran dan pekerjaan untuk pekerja serta pendapatan yang lebih baik untuk semua dan memperkukuh semangat solidariti serta perpaduan, terutamanya apabila Singapura meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaannya (SG60) tahun depan.
“Saya tahu kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama bagi ramai orang. Kami telah mengumumkan langkah-langkah dalam belanjawan tahun ini yang masih sedang dilaksanakan dan diharapkan dapat memberikan sedikit kelegaan,” katanya.
Mengenai dasar luar negara, Perdana Menteri menegaskan bahawa dalam dunia yang multilateralisme semakin melemah, Singapura, sebagai negara kecil, perlu berusaha lebih keras untuk mengukuhkan rangkaian rakan dan rakan kongsi, serta bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk membentuk norma dan peraturan antarabangsa serta mencari persamaan dalam isu-isu berkepentingan bersama.
Ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan terhadap penolakan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump, terhadap multilateralisme dalam penggal pertamanya dan sama ada beliau bimbang tentang kesannya dalam penggal seterusnya, Wong berkata beliau akan menunggu dan melihat apa yang berlaku apabila pasukan baharu itu dilantik.
“Namun, dari sudut pandangan Singapura, kami pastinya akan menyokong institusi multilateral yang lebih kukuh. Kami percaya adalah penting untuk memastikan institusi-institusi ini terus kuat dan dikemas kini jika perlu, kerana kebanyakannya telah ditubuhkan beberapa dekad lepas.
Mereka perlu diperkukuh dan dikemas kini dari segi objektif dan fungsi,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Trump, Perdana Menteri percaya bahawa hubungan dua hala Singapura-AS akan terus berjalan dengan baik di bawah pentadbiran baharu.
Beliau berkata semasa penggal pertama Trump, Singapura dan AS bukan sahaja melanjutkan Memorandum Persefahaman (MoU) pertahanan, tetapi juga menyaksikan perdagangan dan pelaburan yang terus berkembang secara produktif.
“Mengenai kesan kemenangan Trump ke atas China, saya fikir kita masih perlu melihat kerana kita sudah mendengar apa yang beliau harap untuk dibuat semasa kempen. Tetapi apa yang sebenarnya beliau akan lakukan, kita perlu tunggu, termasuk penempatan anggota utama pentadbiran dan kabinetnya,” katanya.
Wong berkata Singapura bimbang dengan kedinamikan hubungan AS-China , yang kini berada dalam keadaan mencabar, tanpa mengira siapa yang berkuasa.
“Kami berharap pemimpin di kedua-dua pihak akan membuat pilihan bijak untuk berinteraksi dan mencari cara untuk hidup bersama, di mana mereka boleh bersaing tetapi pada masa yang sama bekerjasama dalam isu-isu berkepentingan bersama. Di mana mungkin, Singapura akan memainkan peranannya untuk memudahkan hubungan ini,” katanya.
-- BERNAMA