AM

Peruntukan RM3 Juta Diperlukan Baik Pulih Jambatan Gantung Sultan Ismail

10/11/2024 12:45 PM

KUALA KRAI, 10 Nov (Bernama) -- Kira-kira RM3 juta diperlukan untuk membaik pulih struktur binaan yang kelihatan sudah condong dan bila-bila masa sahaja boleh roboh di Jambatan Gantung Sultan Ismail di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata jumlah itu berdasarkan penelitian dan perbincangan yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Krai terhadap struktur binaan jambatan berusia lebih 100 tahun itu.

"Anggaran baik pulih untuk jambatan ini dibuat oleh JKR Daerah Kuala Krai bernilai RM3 juta dan saya harap akan ada peruntukan diberikan oleh kerajaan terutama melibatkan agensi berkaitan.

"Setakat ini, tiada lagi kemajuan bawah tanah dimulakan kerana menunggu kelulusan bajet daripada pihak berkaitan dan kita harap adalah peruntukan untuk jambatan ini...jika sudah dapat, kita boleh mulakan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kamarudin berkata kerajaan negeri tiada sebarang halangan sekiranya pihak berkaitan ingin membaik pulih jambatan tersebut kerana pihaknya akan terus memberi kerjasama dan membantu untuk mempromosi jambatan peninggalan zaman British itu. 

Sebelum ini, Bernama melaporkan kebimbangan penduduk terhadap jambatan yang dibina sekitar 1920-an itu apabila kesan retakan dikesan pada struktur binaannya, serta berlaku hakisan tanah di sekitar kawasan berhampiran malah ia juga dikhuatiri runtuh bila-bila masa.

Jambatan Gantung Sultan Ismail dengan seni bina Eropah sepanjang 21 meter dan lebar sembilan meter itu pernah menjadi nadi pengangkutan darat dari Kuala Krai ke Kota Bharu, namun tidak lagi digunakan sejak 1986 setelah jambatan baharu dibina bersebelahannya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur Mohd Shukri Mohd Isa ketika dihubungi berkata pihaknya akan membantu mencari jalan bagi mengatasi masalah ini memandangkan kos baik pulih amat tinggi selain memerlukan kaedah perancangan yang teliti.

"Kita juga memerlukan sokongan serta bantuan daripada pelbagai pihak terutamanya dari segi peruntukan yang mungkin boleh disumbangkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri kerana matlamat kami adalah  sama-sama memikul tanggungjawab ini untuk membantu menyelamatkan jambatan itu dengan kaedah terbaik," katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy