AM

Pelajar UPNM Dipijak Hingga Cedera: MINDEF Serah Siasatan Kepada Polis

10/11/2024 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dicederakan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi perkongsian di platform X memaklumkan pihaknya berpendirian kejadian terbabit adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi. 

“Susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk menyempurnakan siasatan.

“Pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian membabitkan seorang pelatih UPNM yang disyaki dipijak sehingga cedera parah di rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.

Rusdi berkata kejadian dilaporkan berlaku 10.45 malam, 21 Okt dengan mangsa ketika itu berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama di universiti berkenaan dan polis hanya menerima laporan berkaitan pada 8.40 malam, 8 Nov.

Susulan kejadian itu, mangsa yang berusia 19 tahun kini dirawat di hospital.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy