KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pelabur asing mengurangkan penjualan ekuiti mereka di Bursa Malaysia minggu lepas sekali gus aliran keluar menjadi lebih kecil iaitu RM392 juta, sejajar dengan aliran serantau apabila pasaran lain turut mencatatkan aliran keluar.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) menjelaskan pelabur asing terus menjual ekuiti Asia di tujuh pasaran selama enam minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih US$3.42 bilion, lebih kecil daripada jualan bersih US$4.1 bilion minggu sebelumnya.
“Korea Selatan menongkah arus apabila kembali merekodkan aliran masuk, manakala pasaran lain terus mengalami aliran keluar,” menurut bank pelaburan itu menerusi laporan aliran dana mingguan yang berakhir 8 Nov, 2024.
Bagi ekuiti tempatan, pelabur asing menjadi penjual bersih setiap hari dagangan minggu lepas kecuali pada Isnin dan Rabu. Aliran keluar terbesar RM368.3 juta dicatatkan pada Khamis.
Pada hari-hari lain, aliran keluar adalah antara RM108.9 juta hingga RM169.1 juta.
Tiga sektor teratas yang mengalami aktiviti pembelian bersih oleh pelabur asing ialah perladangan (RM130.2 juta), pembinaan (RM71.3 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM48.7 juta).
Institusi tempatan membuat jualan bersih hanya pada Isnin, bernilai RM79.9 juta, dan menjadi pembeli bersih untuk baki minggu lepas, dengan belian bersih keseluruhan RM641.9 juta.
Pelabur runcit tempatan menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia, selepas membeli pada minggu sebelumnya, apabila menjual ekuiti bernilai RM170 juta.
Jumlah dagangan harian purata (ADTV) menunjukkan peningkatan di semua kumpulan pelabur kecuali pelabur asing, lebih rendah sebanyak 10.2 peratus.
Peruncit tempatan mengalami peningkatan tertinggi pada 24.9 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan 11.4 peratus.
-- BERNAMA