AM

Jangan Sembunyikan Kes Buli Di IPMA - Asyraf Wajdi

11/11/2024 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pengendalian Institusi Pendidikan MARA (IPMA) diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar atau akan berdepan tindakan tegas.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan akan dikenakan terhadap pengetua institusi pengajian terbabit sekiranya didapati menyembunyikan kes berkenaan, selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jangan sesekali ada IPMA termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang sorok (sembunyi) kes buli. TPM (Ahmad Zahid) telah arahkan saya, jika ada kes buli disorokkan maka tindakan turut diambil terhadap Pengetua terbabit,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Asyraf Wajdi juga menegaskan tidak ada kompromi atau pilih kasih terhadap mana-mana pelaku buli di IPMA.

“Saya tidak kira anak pembesar, anak orang kenamaan berpengaruh sekalipun, jika didapati melakukan perbuatan buli, mereka tiada tempat di IPMA.You touch you go!” katanya.

Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata pihaknya mengecam insiden buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 21 Okt lepas.

Beliau berkata insiden yang melibatkan seorang penuntut tahun satu mengalami kecederaan serius pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang penuntut senior jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan prinsip keamanan yang diterapkan dalam institusi pendidikan. 

“Kejadian ini amat mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi sebagai tempat yang bertujuan membentuk generasi muda berilmu, berintegriti, dan mempunyai jati diri tinggi.

“Budaya buli dalam kalangan mahasiswa tidak boleh diterima sama sekali, kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan fizikal pelajar, tetapi juga memberikan kesan buruk terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan komuniti kampus secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Muhammad Amir Asyraf berkata Alumni MPPK menyeru mahasiswa di seluruh negara agar menolak sepenuhnya budaya buli dan keganasan dalam apa jua bentuk selain meminta pihak universiti mempertingkatkan langkah pencegahan serta memastikan perlindungan yang menyeluruh terhadap keselamatan semua mahasiswa.

“Pihak berkuasa diharap mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti terlibat dalam insiden ini, bagi memberi mesej jelas bahawa buli dan keganasan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan,” katanya. 

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan mangsa berusia 19 tahun dan juga penuntut tahun satu UPNM retak tulang rusuk serta tulang belakang dan kini dirawat di hospital selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga pada 10.45 malam, 21 Okt lepas. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy