Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 11 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga Singapura berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya terhadap seorang paderi di Gereja St Joseph di Bukit Timah.
Basnayake Keith Spencer, 37, yang hadir di mahkamah melalui pautan video tidak diwakili peguam, menurut The Straits Times (ST).
Pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh ditahan reman di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi selama tiga minggu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Hakim menetapkan 2 Dis untuk sebutan kes.
Jika sabit kesalahan, Spencer boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara sehingga 15 tahun, sebatan dan/atau denda.
Mangsa, Christopher Lee, 57, seorang paderi di gereja itu ditikam pada bahagian mulut dan mengalami luka sepanjang lapan sentimeter (cm) pada lidah, tiga cm luka pada bibir kiri atas dan luka empat cm pada sudut mulut, menurut ST memetik kenyataan mahkamah.
Dalam kejadian pada Sabtu (9 Nov), Lee diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa upacara keagamaan.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian berjaya melucutkan senjata suspek sebelum dia ditahan oleh pihak polis.
Suspek dipercayai bertindak sendirian dan buat masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa serangan bermotifkan agama atau tindakan keganasan, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
-- BERNAMA