DUNIA

Pakar Gesa Penglibatan Konstruktif Hubungan China-AS Dengan Kembalinya Trump

11/11/2024 11:12 PM

NEW YORK, 11 Nov (Bernama-Xinhua) -- Dengan kemunculan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), pakar menggesa pendekatan yang seimbang dalam menangani hubungan China-AS serta penglibatan konstruktif meskipun menghadapi cabaran yang dijangka.

Dasar luar AS dijangka menjadi "lebih kasar dan malah lebih pedas," kata Denis Simon, seorang pakar hubungan AS-China dan bekas Naib Canselor Eksekutif di Universiti Duke Kunshan, dalam satu wawancara dengan Xinhua.

"Saya melihat AS semakin jauh daripada beberapa komitmen tradisionalnya dan prinsip terasnya, sementara ia menjadi lebih tertumpu ke dalam, lebih melindungi, dan lebih tekno-nasionalisme," katanya.

"Implikasi untuk hubungan AS-China adalah besar," tambahnya.

Simon menyatakan kebimbangannya mengenai pandangan pentadbiran Trump terhadap kebangkitan China, terutamanya dalam bidang teknologi, dengan menegaskan yang AS "perlu membina hubungan, bukannya bertindak dengan mentaliti menang-kalah."

"AS boleh menjimatkan kos besar yang akan timbul daripada bertempur dengan China mengenai isu-isu utama dengan mengamalkan laluan yang saling menguntungkan," kata Simon. "Saling hormat-menghormati, kepekaan silang budaya yang lebih besar, dan timbal balik yang dipertingkatkan boleh membawa kepada hasil menang-menang."

Elizabeth Economy, seorang felow kanan di Institut Hoover Universiti Stanford, berkongsi kebimbangan yang sama dalam majalah Foreign Affairs, dengan menyatakan bahawa Amerika Syarikat perlu memberi keutamaan kepada kerjasama praktikal mengenai isu-isu global seperti perubahan iklim dan pencegahan pandemik.

"Pembuat dasar AS perlu memahami bahawa penstabilan hubungan jangka pendek dengan China bukanlah satu kompromi terhadap kepentingan AS, tetapi sebaliknya satu langkah untuk mencapainya," katanya.

Economy berhujah, dengan mengurangkan retorik yang menghasut dan memupuk hubungan diplomatik yang berfungsi akan menjadi penting dalam mengekalkan hubungan dua hala yang paling utama di dunia.

Sourabh Gupta, seorang pakar kanan dasar hubungan antarabangsa Asia-Pasifik  daripada Institut Kajian China-Amerika, melihat potensi dalam beberapa dasar perlindungan Trump, menurut Xinhua.

Menggalakkan pelaburan langsung asing China di negara ini boleh menghidupkan semula sektor pembuatan Amerika, terutamanya di kawasan yang memerlukan pertumbuhan pekerjaan, katanya.

"Pendekatan ini boleh menawarkan situasi menang-menang," kata Gupta, yang menggariskan bagaimana dasar Trump boleh mewujudkan pekerjaan pembuatan di AS sambil memberi pelabur China akses ke pasaran Amerika.

Kekurangan fokus relatif terhadap China semasa kempen pilihan raya 2024 mungkin memberi ruang kepada pentadbiran yang akan datang untuk membentuk dasar ketika cabaran timbul, kata Robert Kuhn, Pengerusi Yayasan Kuhn.

"Perkara yang tidak penting secara relatif ini adalah perkara yang baik," katanya kepada Xinhua, mencadangkan agar diberi fleksibiliti lebih kepada pentadbiran Trump yang baharu bagi membangunkan dasar China yang pragmatik.

Kuhn mengemukakan strategi tiga langkah untuk menstabilkan hubungan: menghormati "garisan merah" bersama untuk mengelakkan provokasi yang tidak perlu; mengenal pasti kepentingan bersama untuk kerjasama dalam isu-isu global, seperti memerangi dadah.  jenayah terancang, wabak penyakit, risiko kecerdasan buatan dan perubahan iklim; dan memberi masa kepada usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan.

"Rakyat China dan Amerika akan menyokongnya. Keamanan dan kemakmuran dunia akan bergantung kepadanya," kata Kuhn.

Dalam satu komen pada Julai bertajuk "Mempersoalkan anggapan tentang 'konsensus' AS ke atas dasar China " di laman sesawang Brookings Institution, pakar mengingatkan bagaimana hubungan AS-China yang berkembang akan memainkan peranan penting dalam membentuk kestabilan global pada abad ke-21.

"Memandangkan kepentingannya, Amerika Syarikat memerlukan perbincangan yang lebih luas dan inklusif tentang hala tuju masa depan, bukannya terhad kepada garis konsensus yang didakwa," tulis mereka.

"Pertaruhannya terlalu tinggi untuk perbincangan yang terbatas; AS memerlukan perdebatan yang seluas dan seinklusif mungkin tentang hala tuju," kata mereka.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy