AM

Proka Bachok Hasilkan Pelbagai Perabot Bantu OKU Jana Pendapatan

12/11/2024 04:28 PM

BACHOK, 12 Nov (Bernama) -- Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka) di sini menghasilkan lebih 50 jenis perabot bagi membantu golongan berkenaan meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.

Pengurus Proka Nur Amirah Lukman berkata antara perabot dihasilkan di pusat ini adalah meja, kerusi, kabinet dapur, katil, almari dan sofa dengan menggunakan kayu jenis meranti bukit dan meranti merah yang dibeli dari beberapa kilang sekitar Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai.

"Kita ada 42 peserta yang kesemuanya OKU dalam pelbagai kategori seperti cacat fizikal, pendengaran serta penglihatan termasuk lima wanita dan mereka bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap Ahad hingga Khamis," katanya kepada pemberita di Kampung Aur Telong di sini hari ini.

Nur Amirah berkata pihaknya menerima banyak permintaan daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu di seluruh negara kerana harga perabot yang ditawarkan sangat berpatutan bermula RM200 mengikut jenis dan saiz produk serta bahan yang digunakan.

Sementara itu, Ketua Tenaga Pengajar Proka Mohamad Hassan, 65, berkata rata-rata peserta adalah dalam lingkungan usia 17 hingga 70 tahun dan telah dipilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) berdasarkan tapisan penilaian yang dijalankan.

"Ramai yang masuk sini tiada asas pertukangan, jadi kami ajar mereka sampai mahir, termasuk cara mengendalikan mesin memotong kayu dan sebagainya. Setiap produk memerlukan kira-kira tiga tenaga kerja, bergantung kepada jenis produk supaya dapat disiapkan dalam masa ditetapkan," katanya.

Mohamad berkata beliau tidak menghadapi banyak kesukaran untuk berkomunikasi dengan golongan ini kerana pengalaman lebih 30 tahun bersama mereka telah membuatkannya memahami keperluan OKU.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy