GEORGE TOWN, 13 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki hari ini didakwa atas dua pertuduhan membunuh seorang bapa dan anak perempuannya dalam kejadian Khamis lepas dipercayai ditikam.
Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratul Naim Mohd Saidi dalam prosiding yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan tertuduh masih dirawat di wad hospital itu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Muhammad Farhan didakwa membunuh Zulkifli Ibrahim, 62, dan Siti Zulaila Zulkifli, 30, di hadapan lif blok 1, Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini pada 12.54 tengah hari hingga 1.25 tengah hari, 7 Nov lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Nadratul Naim menetapkan 15 Jan 2025 untuk sebutan semula kes.
Lelaki itu ditahan selepas dipercayai menikam dua beranak itu sehingga maut dan sebelum kejadian dia dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.
Siasatan polis mendapati suspek menaruh perasaan terhadap wanita itu, tetapi mangsa tidak membalas cintanya.
Lelaki itu yang bekerja di sebuah kilang di Kulim, Kedah mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri menggunakan pisau sama yang digunakan untuk menikam dua beranak tersebut, sebelum ditahan polis.
-- BERNAMA