DUNIA

PM Anwar Dianugerah Pingat “El Sol del Peru”

14/11/2024 02:48 AM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penghormatan tertinggi kerajaan Peru, anugerah pingat "El Sol del Peru" sebagai pengiktirafan atas peranannya sebagai ketua kerajaan semasa lawatan rasmi pertamanya ke negara Amerika Latin itu sejak memegang jawatan pada 2022.

Pengurniaan penghormatan itu dilakukan oleh Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra, dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Kerajaan di sini pada Rabu (13 Nov).

Pingat "El Sol del Peru" atau "Matahari Peru," darjah Gran Cross, dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam.

Insignia Grand Cross adalah gabungan lencana The Grand Office, selempang ungu yang dipakai di bahu kanan, dengan pingat Komander yang digantung pada selempang itu.

Selain itu, butang berwarna mengikut warna perintah itu, dipakai di bahagian atas sut dan sijil penghargaan turut diberikan.

Lawatan Anwar, termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dari 14 hingga 16 Nov, dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.

Anwar, yang juga menteri kewangan, tiba di sini pada 12 Nov.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii, bersama pegawai kanan kerajaan.

Peru, sebuah negara di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy