JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Seorang Lagi Pengarah Syarikat Kemuka Butir Matan Palsu

14/11/2024 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang lagi pengarah syarikat disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia bernilai kira-kira RM 1.1 juta.

Perintah reman selama lima hari hingga 18 Nov itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Menurut sumber, wanita berusia 40-an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.

“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM 1.1 juta,” menurut sumber. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 12 Nov lepas, media melaporkan SPRM menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk berhubung kes sama dan lelaki warga Bangladesh berusia 40-an itu direman hingga 17 Nov. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy