Oleh T. Previnna
PETALING JAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kira-kira 3.8 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik dengan 80 hingga 85 peratus kes dikaitkan dengan diabetes atau hipertensi.
Pakar Perunding Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway Dr Rosnawati Yahya berkata hampir separuh daripada pesakit dialisis di Malaysia ialah penghidap diabetes, risiko kesihatan serius berkaitan dengan pengambilan gula berlebihan.
"Pengambilan gula yang banyak menyebabkan obesiti kerana ia mempunyai kalori dan punca kepada masalah berkenaan. Apabila seseorang mengalami obesiti, berkemungkinan isu, seperti diabetes, hipertensi, hyperlipidaemia, hati berlemak dan masalah pernafasan akan berlaku kerana ia saling berkaitan.
"Kita memerlukan hanya 1,800 hingga 2,000 kalori (kcal) sehari dan lebihan kalori yang diambil akan disimpan sebagai lemak menyebabkan lemak di bahagian abdomen, lemak visceral dan perkembangan rintangan insulin," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Subang Jaya di sini baru-baru ini.
Dr Rosnawati yang mempunyai pengalaman dalam bidang nefrologi lebih 25 tahun berkata rintangan insulin berlaku apabila otot, lemak dan hati tidak bertindak balas dengan baik kepada insulin dan tidak dapat mengambil glukosa (gula) daripada darah.
Beliau berkata diabetes yang tidak terkawal dalam jangka masa panjang boleh merosakkan buah pinggang, meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang.
Dr Rosnawati berkata faktor genetik juga mungkin menjadikan individu itu lebih mudah terdedah kepada diabetes dan penyakit buah pinggang pada usia lebih muda.
Protein dalam air kencing dikenali sebagai proteinuria katanya, ialah tanda terawal kerosakan buah pinggang akibat diabetes dan pada peringkat ini, pesakit lazimnya tidak menunjukkan gejala, ada yang mungkin melihat terdapat buih pada air kencing manakala peringkat akhir penyakit buah pinggang ialah gejala, seperti kaki bengkak, loya dan muntah serta hilang selera mungkin mungkin berlaku.
"Menjadi pesakit diabetes untuk jangka masa lama meningkatkan risiko komplikasi seperti makrovaskular dan mikrovaskular.
"Komplikasi mikrovaskular menjejaskan saluran darah dalam buah pinggang yang menyebabkan kegagalan buah pinggang serta saluran darah dalam mata dikenali sebagai retinopati diabetes yang mungkin mengakibatkan kehilangan penglihatan," katanya.
Dr Rosnawati berkata pengambilan gula berlebihan bukan sahaja mengundang kepada masalah diabetes, tetapi juga meningkatkan tekanan oksidatif di dalam tubuh, mengurangkan keupayaan untuk melawan penyakit.
"Gula telah terbukti menyumbang kepada obesiti yang meningkatkan risiko beberapa jenis kanser, jadi perkara terbaik yang perlu dilakukan ialah mengurangkan pengambilan gula harian atau melatih diri supaya tidak mengambil gula langsung, itu lebih baik. Air kosong ialah minuman terbaik di dunia," katanya.
Beliau turut menyarankan senaman secara berkala, mengambil berat tentang pemakanan dan memantau pengambilan kalori harian untuk mengurangkan risiko obesiti, diabetes, penyakit jantung dan kerosakan buah pinggang serta menggalakkan mereka yang berisiko menjalani ujian darah dan air kencing untuk memantau kesihatan buah pinggang.
Sementara itu, Dr Rosnawati berkata kemajuan terkini dalam perubatan membawa kepada rawatan baharu yang bertujuan memperlahankan perkembangan penyakit buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes.
"Selama bertahun-tahun, kita hanya ada satu ejen (untuk mengawal tahap glukosa dalam darah), tetapi pada beberapa tahun kebelakangan ini, kita mempunyai empat ejen," katanya.
Mengenai cukai gula yang diperkenalkan kerajaan untuk minuman bergula, Dr Rosnawati memuji inisiatif berkenaan dan menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang tabiat pemakanan yang sihat.
Beliau turut mencadangkan agar pengendali makanan mengawal saiz hidangan dengan lebih baik dan memaparkan kiraan kalori pada menu, membantu pengguna membuat pilihan dengan lebih bijak, selain langkah lebih luas untuk meningkatkan gaya hidup rakyat Malaysia dan kesihatan mereka.
"Meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan dan memastikan individu mempunyai masa untuk bersenam adalah penting. Ramai yang menghabiskan masa terlalu lama berulang-alik ke tempat kerja dan rumah, menyebabkan mereka kekurangan waktu untuk melakukan aktiviti fizikal," katanya.
Dr Rosnawati juga mengesyorkan agar majikan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat di tempat kerja dengan menyediakan pilihan makanan berkhasiat dan menggalakkan kegiatan fizikal, seperti memberi ganjaran kepada pekerja yang melengkapkan sejumlah langkah sehari, sebelum bekerja.
Ditubuhkan pada 1999, SMC ialah hospital kuaternari terbesar di Malaysia dan satu-satunya di negara menerima tiga akreditasi antarabangsa – Gold Seal of Approval Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI), Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) – memperkukuh komitmen untuk kecemerlangan penjagaan kesihatan.
Hospital berkenaan mempunyai 28 Pusat Kecemerlangan yang menawarkan lebih 60 kepakaran perubatan dan kini dilesenkan bagi 724 katil, dengan rancangan untuk meluaskan kepada kira-kira 1,100 katil selepas blok keenam, Menara F, siap menjelang suku keempat 2025.
-- BERNAMA
Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.