MERSING, 14 Nov (Bernama) -- Kelab Media Johor (KMJ) menjelajahi Kampung Orang Asli Tanah Abang di sini yang terletak kira-kira 163 kilometer dari bandar raya Johor Bahru bagi menyantuni komuniti itu sempena Jelajah Media Johor (JMJ), baru-baru ini.
Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak berkata program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Asli Tanah Abang itu memfokuskan kepada aspek kesihatan dan pendidikan murid-murid selain ibu bapa dan komuniti setempat.
Beliau berkata JMJ yang memasuki edisi ke-8 tahun ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang turut mendapat kerjasama Hospital Pakar Regency, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan.
“Pada masa sama, saya berharap agar lebih banyak lagi agensi di luar sana terutama agensi korporat untuk menyantuni masyarakat luar bandar dan bersama-sama kita menjayakan program seperti ini.
“...secara tak langsung, sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka terutama daripada segi penjagaan kesihatan dan (memperkasa) pendidikan golongan itu,” katanya kepada pemberita pada jelajah tersebut.
Mohamad Fauzi berkata antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah penjagaan kebersihan diri, pemeriksaan mata, saringan kesihatan, pertandingan mewarna, kuiz dan sukaneka selain beramah mesra bersama mereka.
“Lebih daripada 100 penduduk Orang Asli dewasa telah menjalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah dan timbang berat badan oleh kira-kira 15 petugas hospital berkenaan.
“Selain itu turut diadakan cabutan bertuah dan penyerahan ‘goodies bag’ kepada penduduk dan murid-murid di samping penyampaian ‘mock cheque’ kepada KMJ berjumlah RM5,000 daripada pihak Hospital Pakar Regency,” katanya.
Konvoi JMJ disertai 25 pengamal media melibatkan beberapa agensi termasuk Bernama, Utusan, RTM serta media di bawah kumpulan NSTP.
-- BERNAMA