EKONOMI

Tema APEC 2024 Selaras Dengan Tema 'Keterangkuman Dan Kelestarian' ASEAN 2025

14/11/2024 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Tema Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-31 (AELW) 2024, “Empower, Include, Grow”, selaras dengan tema ASEAN 2025 iaitu "Keterangkuman dan Kelestarian" yang akan dipengerusikan oleh Malaysia tahun depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tema APEC sangat relevan dengan trend semasa global dan juga penting untuk Malaysia. 

“Jika anda melihat kepada 21 negara anggota APEC, kita semua mengharungi tempoh ketidaktentuan ekonomi.

“Kita telah melihat dua kuasa besar ekonomi turut berdepan cabaran, yang boleh memberi impak kepada kerjasama dan penyepaduan ekonomi. (Bagi saya), itulah sebabnya mengapa kita mempunyai platform seperti APEC kerana ia membolehkan kita membincangkan isu dan cabaran yang kita hadapi bersama,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian semasa ditemu bual The Heat, program bual bicara di bawah China Global Television Network (CGTN). Intipati temu bual itu disiarkan di platform X beliau hari ini. 

Beliau berkata ekonomi anggota APEC mewakili populasi sekitar tiga bilion orang, hampir 30 peratus daripada penduduk global yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.

“Bagi kami, apa yang kami mahu lihat untuk sebuah negara kecil seperti Malaysia, sebuah negara perdagangan Barat, kami mahu melihat ekonomi menjadi lebih bersepadu kerana kami percaya penyepaduan menggalakkan keterangkuman.

"Kami mahu melihat pertumbuhan global yang memberi manfaat kepada banyak negara, terutamanya negara kurang membangun dan negara sedang membangun, dan pertumbuhan ini adalah inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Justeru, kita juga mesti memastikan pertumbuhan adalah saksama, dan ini hanya boleh dicapai melalui penyepaduan ekonomi yang lebih besar,” katanya.

Tengku Zafrul berkata ASEAN, sebagai perkumpulan yang terdiri daripada enam negara anggota APEC -- Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam -- mewakili kuasa ekonomi yang besar.

Menurutnya, dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion (US$1=RM4.44), ASEAN kini merupakan blok ekonomi kelima terbesar di dunia.

Rantau itu yang memiliki 680 juta populasi berkembang pada kadar empat peratus hingga lima peratus dan pada kadar ini ASEAN berada di landasan untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030, katanya.

“Malah dalam ASEAN sendiri, kami mahu melihat lebih banyak penyepaduan.Jika anda melihat perdagangan dalam kalangan negara ASEAN, jumlahnya kurang daripada 25 peratus.

“Sudah tentu, kami mempunyai rakan dagang utama (seperti) Amerika Syarikat dan China, yang merupakan dua rakan dagang terbesar untuk semua negara ASEAN dan untuk ASEAN sendiri,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, APEC juga perlu berusaha untuk melaksanakan penyepaduan lebih meluas untuk memastikan pertumbuhan inklusif kepada semua.

“Apabila kita membicarakan tentang pertumbuhan inklusif, ia bukan sekadar memberi manfaat kepada syarikat besar atau multinasional. Ia mestilah saksama, melibatkan perusahaan kecil dan sederhana, belia, dan usahawan wanita.

“Pada APEC tahun ini, kita akan berbincang untuk memastikan kita mempunyai platform digital dan hijau kerana kita mahu mempunyai akses pasaran untuk semua segmen perniagaan,” katanya.

 -- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy