KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Diiring sokongan padu penyokong tempatan, Ng Eain Yow dan Rachel Arnold mudah menewaskan lawan masing-masing untuk mara ke suku akhir Piala Skuasy Ace Malaysia 2024 dijadualkan esok.
Dalam pusingan kedua yang berlangsung di gelanggang kaca di pusat beli-belah The Curve, Damansara di sini, Eain Yow menewaskan Shahjahan Khan dari Amerika Syarikat 3-0 (11-5, 11-8, 11-2) dalam 51 minit.
Meskipun disenaraikan sebagai pilihan kedua kejohanan, pemain lelaki kebangsaan itu mengakui beliau masih cuba menyesuaikan diri bermain di gelanggang berkenaan yang menyebabkan beliau merasakan beberapa keputusan yang dibuat ketika perlawanan tidak memihak kepadanya.
"...mungkin saya tidak setenang seperti selalu. Itu satu perkara yang perlu saya teliti malam ini dan cuba betulkan untuk esok. Untuk pastikan saya boleh kekal fokus sepanjang perlawanan.
" (Bagaimanapun) secara keseluruhan, saya tetapkan standard yang sangat untuk diri sendiri. Dari segi permainan asas saya, saya rasa saya sedang buat dengan baik. Saya tak beri lawan peluang yang banyak untuk menyerang. Tapi bahagian yang saya tidak lakukan dengan baik ialah bahagian penamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata keyakinan yang dibina setelah bertahun-tahun berlatih akan menjadi faktor penting bagi perlawanan selepas ini, menentang sama ada pemain Sepanyol Bernat Jaume atau Rui Soares dari Portugal di suku akhir.
“Pada tahap ini, dengan 10 teratas, lima pemain terbaik, jika kami tidak percaya bahawa kami boleh mengalahkan mereka, kami tidak akan pernah dapat mengalahkan mereka. Jadi pada peringkat ini, kami percaya kami boleh melakukannya dan kami akan turun ke gelanggang dan cuba melakukannya," katanya.
Sementara itu, pemain wanita negara, Rachel yang juga pilihan ketiga kejohanan, hanya memerlukan 25 minit untuk menewaskan rakan seorang lagi wakil Malaysia Noor Ainaa Amani Ampandi, 3-0 (11-7, 11-4, 11-5).
Pemain ranking ke-20 dunia itu berkata berdepan rakan senegara memerlukannya untuk terus fokus dan berhati-hati, terutamanya di hadapan peminat tempatan, selain turut mengimbau kenangan menyaksikan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David bermain di venue yang sama.
"Saya fikir (perkara yang saya mahu baiki ialah) cuba bermula dengan baik dan kemudian mengekalkannya dan cuba untuk tidak kehilangan fokus," katanya.
Rachel akan berdepan sama ada Marta Dominguez dari Sepanyol atau Katie Malliff dari England, dan jika beliau bertemu Katie, Rachel bersedia untuk mencuba sedaya upaya bagi membalas dendam kekalahannya di New York yang menyaksikan beliau tumbang 1-3.
Diadakan di gelanggang kaca berteknologi tinggi di pusat beli-belah The Curve, acara peringkat Gangsa dalam Siri Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) itu berlangsung dari 12-17 Nov ini, dengan perlawanan turut dijadualkan di Pusat Sukan Negara (NSC) di Jalan Duta, menawarkan hadiah berjumlah AS$100,000 (kira-kira RM443,566).
-- BERNAMA