AM

Dua Juta Pekerja Disasar Sertai Kesatuan Sekerja - Sim

14/11/2024 07:46 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mensasarkan jumlah pekerja yang menganggotai kesatuan sekerja di seluruh negara meningkat kepada dua juta orang, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Sim berkata setakat September lepas, bilangan kesatuan sekerja di Malaysia telah mencapai 759 dengan keanggotaan seramai 1,030,151 orang.

Beliau berkata sasaran berkenaan adalah selaras Akta Kesatuan Sekerja 1959 Pindaan 2024 yang telah berkuat kuasa mulai 15 September lepas yang antaranya memperkasakan lagi kesatuan sekerja di Malaysia.

“Sekarang kita ada satu juta ahli kesatuan sekerja, kalau boleh kita tambah sehingga dua juta ahli.

“Ini kerana saya melihat kesatuan ini sebagai satu wardah perjuangan pekerja dan adanya kesatuan, kita kuat,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata penguatkuasaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 Pindaan 2024 juga membolehkan kekangan-kekangan dalam penubuhan kesatuan sekerja dikurangkan.

“Kita nak berikan hak kepada pekerja untuk terlibat lebih aktif dalam kesatuan demi memberi kuasa yang lebih besar kepada kaum pekerja di Malaysia,” katanya.

Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, Sim berkata beliau sedang berusaha untuk membentangkan RUU berkenaan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini bagi melindungi kumpulan itu. 

“Kita tengah berusaha untuk membawa RUU yang baharu iaitu RUU Pekerja Gig yang akan membela nasib rakan-rakan kita pekerja gig yang sudah lama terkapai-kapai di luar akta kerja. 

“Mereka tidak dilindungi di bawah akta kerja tetapi mereka juga pekerja,” katanya.

Pada majlis itu, Sim turut menyampaikan anugerah kepada lima penerima Anugerah Kesatuan Sekerja 2024 antaranya Presiden Uni Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal yang menerima Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia.

Turut menerima anugerah adalah Prof Madya Dr Abd Rahman Tamuri daripada  Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PKAUTM) bagi kategori Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy