Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis berbanding sebahagian besar kenaikan yang berlaku pada hari-hari sebelumnya, kata seorang peniaga.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata, sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh penjualan niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) dan niaga hadapan minyak sayuran China yang lebih lemah.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata aktiviti pengambilan untung mungkin menjadi faktor kepada niaga hadapan MSM untuk ditutup rendah hari ini susulan kelemahan dalam pasaran minyak kacang soya CBOT.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,900 satu tan dan paras rintangan pada RM5,080 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 susut RM34 kepada RM5,151 setiap tan, Disember 2024 berkurang RM34 kepada RM5,003 setiap tan dan Januari 2025 menyusut RM23 kepada RM4,964 setiap tan.
Dalam pada itu, kontrak Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025 menyusut RM9 masing-masing kepada RM4,922, RM4,828 dan RM4,713 setiap tan.
Jumlah dagangan berkurang kepada 135,018 lot daripada 166,266 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 247,747 kontrak daripada 396,466 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk November Selatan berkurang RM100 kepada RM5,100 setiap tan.
-- BERNAMA