Oleh Norhayati Mohd Akhir
PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Warga pendidik bagi pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang telah dianugerahkan sebagai Duta Guru melalui Program Duta Guru (PDG) perlu bekerja keras dengan lebih aktif bagi meningkatkan minat serta kompetensi murid dalam bidang STEM dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Berucap pada majlis Penganugerahan Program Duta Guru Kohort 4 di sini baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata langkah itu perlu bagi memastikan sasaran nisbah 60:40 murid dalam aliran sains berbanding aliran sastera serta sains sosial dapat dicapai.
“Apa yang penting hari ini bukan satu pengakhiran buat anda semua, tetapi kita mahu komitmen daripada rakan-rakan (warga pendidik) untuk sumbang ilmu dan kaedah terkini yang diperoleh melalui program PDG bagi meningkatkan prestasi STEM di sekolah masing-masing.
“Ini kerana, kami di KPM (Kementerian Pendidikan) memberi penekanan serius terhadap mata pelajaran STEM,” katanya.
Beliau berkata saranan itu juga bertujuan meningkatkan enrolmen murid dalam aliran STEM sepertimana hasrat yang sering disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setiap kali kami bermesyuarat bersama Perdana Menteri, perkara ini yang sering ditekankan, malah beliau sebelum ini turut mengarahkan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk menempatkan 100 saintis bioteknologi di 100 sekolah bagi menarik minat murid dalam bidang STEM,” katanya.
Wong berkata PDG merupakan program kerjasama jangka panjang hingga 2030 antara KPM dengan Yayasan Petronas bertujuan meningkatkan minat murid dalam mata pelajaran STEM serta mengasah kemahiran KBAT murid di seluruh negara melalui pedagogi yang holistik dan bersepadu.
Menyifatkan PDG sebagai satu program yang amat signifikan, Wong berharap program itu dapat diperluas di seluruh negara meliputi semua sekolah di kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Sabah serta Sarawak.
“KPM berhasrat untuk fokus kepada semua sekolah tidak kira lokasi khususnya sekolah yang majoriti ada anak-anak daripada kalangan B40. Kita mahu lebih ramai cikgu dari sekolah macam ini terlibat dalam PDG,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis berkata PDG yang dilancarkan pada 2019 itu bertujuan memperkasakan 4,500 guru teladan yang berkompetensi tinggi dan komited untuk meningkatkan KBAT melalui pendidikan STEM sebagai asas sebuah negara yang berdaya saing menjelang 2030.
Beliau berkata warga pendidik yang bergelar Duta Guru akan bertindak sebagai guru teladan bagi mempertingkatkan minat dan kecekapan murid dalam mata pelajaran STEM serta KBAT.
“Program ada pelbagai bengkel, dialog dan siri perbincangan yang dijalankan bersama KPM, pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan program ini adalah daripada guru, untuk guru atau lebih dikenali sebagai by teachers, for teachers,” katanya.
Berkongsi kepada Bernama, Yasmin Noorul Amin, 47, yang merupakan seorang daripada Duta Guru Kohort 4 berkata PDG menjadi pendorong kepada pendidik untuk lebih kreatif mencipta program menarik yang mampu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran STEM.
“Apabila saya berada dalam program ini, saya akui ia merupakan satu platform yang memudahkan perjalanan saya untuk mendidik anak-anak murid dan meyakinkan mereka tentang manfaat mata pelajaran STEM,” kata guru mata pelajaran Kimia dan Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Selangor itu.
Berpengalaman sebagai warga pendidik selama 21 tahun, bekas jurutera itu bertekad mahu berusaha keras untuk mendorong murid-muridnya meminati mata pelajaran STEM demi menjamin peluang pendidikan tinggi dan laluan kerjaya yang cerah.
“Sebelum menyertai PDG, saya rasa tanggungjawab untuk tingkat minat murid-murid agak sukar, tetapi apabila saya sertai program ini, laluan itu lebih mudah. Ada banyak kelebihan yang saya nampak lepas sertai PDG,” katanya yang berasal dari Taiping, Perak.
Yasmin yang merupakan penerima Anugerah Ikon Guru Peringkat Kebangsaan 2024 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-53 baru-baru ini berkata beliau bersama 415 rakan sejawat lain kini berada dalam landasan yang tepat apabila menyertai PDG.
-- BERNAMA