DUNIA

Malaysia Pasaran Pertama Daging Hanwoo Halal Korea, Perluaskan Peluang Perdagangan

16/11/2024 02:35 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Selepas kejayaan memperkenalkan daging lembu Hanwoo premium yang halal di Malaysia tahun lalu, Korea Selatan kini bersedia mengembangkan lagi penawaran halalnya, dengan memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan dan meningkatkan kebolehcapaian kepada pengguna.

Menteri di Kedutaan Korea Selatan di Malaysia, Lee Han Il menjelaskan bahawa daging Hanwoo, yang diternak dengan makanan berkualiti tinggi serta menggunakan teknologi pertanian pintar termaju dan sistem pengurusan keselamatan makanan yang ketat, menawarkan rasa mewah dan kualiti daging yang amat digemari oleh rakyat Korea Selatan.

“Eksport daging Hanwoo adalah penting bukan sahaja kerana usaha mendapatkan pensijilan halal, tetapi juga kerana daging ini mempunyai makna istimewa bagi rakyat Korea Selatan, seperti durian yang dekat di hati rakyat Malaysia,” katanya dalam satu acara promosi masakan Hanwoo yang diadakan di sini baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Korea Selatan kini memberi tumpuan untuk mengembangkan pasaran dengan lebih luas dan menyebut bahawa satu lagi syarikat sedang dalam proses memperoleh pensijilan halal, yang bakal meningkatkan bilangan kedai yang menawarkan daging Hanwoo.

“Saya amat berbesar hati dapat mempromosikan keunggulan daging Hanwoo, terutamanya apabila syarat eksport dan pengedaran semakin baik,” katanya.

Dianjurkan oleh Kementerian Pertanian Korea Selatan dan Lembaga Hanwoo, acara promosi itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang Hanwoo dan potensi masakannya.

Lee turut menyuarakan harapan agar inisiatif ini dapat meningkatkan pengiktirafan daging Hanwoo di Malaysia serta membuka jalan kepada penglibatan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Memandangkan rakyat Malaysia gemar menonton drama Korea seperti ‘Squid Game’ dan ‘Queen of Tears’, saya berharap suatu hari nanti dapat mendengar lebih ramai orang bercakap tentang betapa mereka menikmati daging Hanwoo,” katanya.

Korea Selatan mula mengeksport daging Hanwoo halal ke Malaysia pada 29 Jun tahun lalu.

Kedua-dua negara menandatangani kontrak pertama untuk memudahkan eksport daging lembu Korea yang memenuhi standard halal ke Malaysia, selepas mencapai persetujuan dalam rundingan kuarantin pada Mac, hasil perbincangan selama tujuh tahun.

Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan memaklumkan bermula dengan kontrak pertama ini, negara itu menjangkakan untuk mengeksport sejumlah 1,875 tan daging lembu Korea dalam tempoh tiga tahun akan datang, atau kira-kira 2,500 ekor lembu setiap tahun.

Jumlah ini melebihi 13 kali ganda berbanding 44 tan yang dihantar ke luar negara pada 2022.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy