JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Warga Asing Gaduh, Korek Mata

17/11/2024 07:02 PM

TASEK GELUGOR, 17 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan yang menyaksikan seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah apabila bebola mata kirinya dikorek keluar, dalam kejadian di Jalan Ara Kuda di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan susulan pergaduhan pada kira-kira 2 petang.

“Berdasarkan siasatan awal lelaki berumur 52 tahun itu dikatakan menganggu suspek, sebelum lelaki warga asing berkenaan bertindak memukul dan mencederakan kedua-dua belah matanya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut dan keadaannya kritikal, manakala suspek yang ditahan di lokasi kejadian, kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman dalam kenyataan petang ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Norhaslinda Rahmat dengan menelefon 04-576 2222 (sambungan 2244) atau hubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata warga asing berkenaan direman bermula hari ini hingga 20 Nov dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini polis tidak dapat merakam keterangan mangsa kerana lelaki itu sedang menjalani pembedahan mata di Hospital Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy