SUKAN

Jun Hao Kandas Di Final Masters Jepun

17/11/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao terlepas peluang mendapatkan kejuaraan terbesar dalam kariernya setelah tumbang kepada pemain China Li Shi Feng dalam perlawanan akhir Masters Jepun, acara Super 500 Jelajah Dunia hari ini.

Pemain nombor 31 dunia itu kalah 10-21, 13-21 selepas bertarung selama 41 minit di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Ia merupakan kekalahan keempat Jun Hao menentang pemain China itu setelah tewas pada Piala Thomas, Malaysia Masters dan Terbuka Indonesia.

Pemain berusia 25 tahun itu mara ke final selepas mempamerkan aksi menakjubkan dengan kemenangan 10-21, 21-18, 22-20 ke atas juara All England 2024 Jonatan Christie dari Indonesia dalam perlawanan separuh akhir memenatkan selama 71 minit semalam, manakala Shi Feng mengejutkan juara Olimpik dua kali dari Denmark Viktor Axelsen 21-16, 21-15.

Pencapaian terbaik Jun Hao sebelum ini dalam acara Jelajah Dunia ialah muncul naib juara Super 300 Thailand Master pada 2018 selain menjuarai Super 100 Indonesia Masters 2022 dan KL Masters 2023.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy