TAMPIN, 17 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membelanjakan RM22.8 juta menerusi peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi menaik taraf infrastruktur teknologi maklumat (ICT) di 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) seluruh negara, tahun ini.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata ia termasuk menaik taraf infrastruktur rangkaian capaian Internet, perkakasan ICT dan alat bantuan mengajar sekali gus berupaya menjadikannya pusat latihan komuniti secara maya yang melahirkan masyarakat desa berkemahiran.
“PKD ini telah dijenamakan semula sebagai pusat pendigitalan selain lima fungsi utamanya, ia juga menjadi pusat dengan segala latihan berkaitan pendigitalan dilaksanakan bagi membantu penduduk terutama usahawan, RM22.8 juta dibelanjakan untuk naik taraf fasiliti PKD termasuk 10 di Negeri Sembilan.
“Kita lihat respon daripada masyarakat setempat daripada PKD ini amat baik dan sasaran utama kita untuk menjadikan ia sebagai pusat menjana pendapatan masyarakat luar bandar akan dicapai menerusi latihan dan program kepada mereka,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program PKD Mobile siri keempat yang turut dihadiri Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias di sini hari ini. Sebanyak 22 pempamer terlibat dalam program selama dua hari bermula semalam itu.
Rubiah berkata bagi memastikan peranan PKD kawasan luar bandar terus diperkasakan, peruntukan keseluruhan kementerian telah bertambah pada tahun depan kepada RM11.96 billion manakala pengagihan belanjawan untuk PKD turut bertambah kepada RM5 juta.
Selain itu, beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga Okt lepas, sebanyak 23,203 program dilaksanakan PKD di seluruh negara yang memanfaatkan 619,243 penduduk luar bandar, khususnya kepada masyarakat berdekatan PKD berkenaan.
Dalam pada itu, Rubiah berkata PKD Mobile antara langkah KKDW mendekati dan menyantuni penduduk luar bandar melalui tawaran perkhidmatan dan penyaluran maklumat secara bergerak kepada masyarakat desa.
“Program ini melibatkan kawasan yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan PKD sedia ada atau jauh dari bandar bagi membolehkan komuniti mendapatkan perkhidmatan termasuk daripada agensi dan kementerian lain tanpa membuat perjalanan jauh,” katanya.
Beliau berkata KKDW turut merancang melaksanakan 13 siri Mini PKD Mobile di setiap negeri pada tahun hadapan mengikut konsep PKD Mobile tetapi pada skala lebih kecil dan lokasi program lebih jauh dari bandar atau pedalaman.
Sementara itu, pengunjung Nor Hidzam Abu Bakar, 58, berkata program seperti ini perlu kerap diadakan bagi memudahkan rakyat setempat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan daripada agensi tertentu tanpa perlu ke bandar sekali gus menjimatkan masa dan kos pengangkutan mereka.
“Biasanya saya ke Melaka untuk ke kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri yang ambil masa setengah jam, jadi bila ada program sebegini yang kumpulkan pelbagai agensi di satu tempat, memang mudahlah untuk kami terutama golongan warga emas.
“Kalau boleh buat enam bulan sekali lagi bagus atau sekali setahun di setiap daerah, bagaimanapun, perlu lebih banyak promosi tentang program ini, sebab ada orang kampung saya tidak tahu mengenainya, ia program yang bagus jadi perlu diuar-uarkan kepada semua,” katanya yang berasal dari Tampin itu.
Suri rumah, Yati Alias, 53, pula berkata beliau sempat mendapatkan saringan kesihatan di kaunter Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) daripada Kementerian Kesihatan pada program itu.
“Jadi senang, mak cik tak perlu sampai ke klinik yang agak jauh dari rumah, ke sini untuk periksa tekanan darah, selain itu mak cik juga turut dapatkan maklumat di kaunter Jabatan Kemajuan Masyarakat dan ada juga gerai Jualan Rahmah, jadi dapat mak cik beli barang dengan harga murah,” katanya.
Ketua Perkhidmatan KWSP Cawangan Bahau Fatin Nur haziqah Kamarulzaman pula berkata hampir 400 individu mengunjungi kaunter berkenaan selama dua hari program dan menyifatkan ia platform terbaik bagi agensi turut padang mendekati penduduk di kawasan luar bandar.
“Ia perlu sentiasa diadakan, KWSP pada hujung minggu tidak dibuka jadi mereka boleh datang ke sini, ramai ahli KWSP masih belum biasa dengan kita, jadi kita dekati mereka dan update apa-apa yang berkaitan secara bersemuka dengan lebih cepat,” katanya.
-- BERNAMA