AM

Sejati MADANI: Dron Jana Pendapatan JPKK Kg Tebuk Haji Dolah, Penanaman Padi Lebih Efisien

18/11/2024 10:08 AM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

BAGAN SERAI, 18 Nov (Bernama) -- Mahu memanfaatkan teknologi serta berhasrat meringankan kos pesawah setempat, menjadi pencetus idea kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tebuk Haji Dolah, di sini, menjalankan perkhidmatan penggunaan dron kepada pengusaha pertanian di kawasan itu sejak September lepas.

Pengerusi JPKK Kampung Tebuk Haji Dolah Mohd Arshad Sabri, 43, berkata perkhidmatan itu mampu menjana pendapatan lumayan memandangkan terdapat kira-kira 400 hektar kawasan penanaman padi diusahakan lebih 90 peratus penduduk di kampung terbabit.

“Idea untuk menjalankan perkhidmatan dron ini tercetus selepas kami sendiri sebagai pesawah sukar mendapatkan perkhidmatan tenaga manusia untuk membantu dalam melancarkan proses meracun, membaja dan menabur benih padi melalui kaedah konvensional.

“Di sini, kami melihat masalah itu sebagai peluang yang harus digunakan sebaiknya untuk membantu melancarkan urusan penanaman padi penduduk dengan lebih efisien sekali gus menjana pendapatan buat komuniti,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Tebuk Haji Dolah, di sini.

JPKK Kampung Tebuk Haji Dolah merupakan antara komuniti yang berjaya memperoleh geran berjumlah RM100,000 melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) disalurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Inisiatif yang digerakkan JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah melalui perkhidmatan itu menjadi sebutan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas.

Pada pembentangan itu Perdana Menteri berkata kerajaan akan memperuntukkan keseluruhan berjumlah RM1 bilion bagi program SejaTi MADANI dan inisiatif itu bakal diperhebat dengan jalinan kerjasama yang lebih meluas membabitkan pengurusan tertinggi jabatan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI.

Sementara itu, Mohd Arshad berkata buat permulaan tiga dron jenama Mist Lite yang dibeli melalui dana SejaTi MADANI itu digunakan khusus untuk perkhidmatan semburan racun di petak-petak sawah milik penduduk kampung berkenaan.

Menurut beliau, harga ditawarkan pihaknya untuk perkhidmatan itu sekitar RM25 per ekar (0.4 hektar) berbanding RM30 bagi keluasan sama menggunakan kaedah konvensional.

“Untuk proses semburan racun, harga yang kami tawarkan ini bukan sahaja lebih rendah malah hanya mengambil masa 15 minit per ekar untuk disiapkan berbanding 90 minit bagi keluasan sama menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

Mengulas kelebihan penggunaan dron dalam aktiviti penanaman padi, beliau berkata selain menjimatkan masa dan tenaga, teknologi itu turut mengoptimumkan pengeluaran padi pesawah sekali gus meningkatkan penjanaan pendapatan.

“Saya bagi contoh, semburan racun menggunakan dron ini lebih rata dan mampu dikawal mengikut ketinggian (jarak semburan) yang dimahukan. Apabila racun cukup maka padi yang ditanam itu akan terhindar daripada serangan serangga dan penyakit berbahaya.

“Keadaan ini juga secara tak langsung akan menghasilkan padi yang berkualiti dengan kuantiti lebih banyak berbanding penggunaan kaedah konvensional,” katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Negeri Perak juga ada meminta pihaknya membantu mereka dalam melakukan semburan racun di Tanjung Piandang membabitkan keluasan lebih 200 ekar tanah.

Menurutnya, kerja-kerja semburan itu berjaya disiapkan dalam masa lima hari dengan pendapatan  diperoleh disalurkan kepada Tabung Kebajikan Komuniti Kampung Tebuk Haji Dolah serta Gerobok Makanan Kampung Tebuk Haji Dolah.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Mohd Arshad berkata pihak komuniti berhasrat  meluaskan perkhidmatan ditawarkan ke seluruh negeri selain tumpuan tidak hanya kepada penanaman padi semata-mata.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy