AM

Sultan Selangor Zahir Kebimbangan Peningkatan Penagih Dadah

18/11/2024 02:50 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap gejala ketagihan dadah yang semakin parah dalam kalangan masyarakat. 

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda menzahirkan perkara itu, berikutan statistik penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan peningkatan 31.6 peratus jumlah penagih dadah berbanding tahun lepas.

“... adalah amat malang sekali, jika dilihat rata-rata mereka yang terjebak dengan gejala ketagihan dadah adalah golongan berbangsa Melayu yang beragama Islam iaitu 76.8 peratus, juga golongan artis yang ramai terjebak, yang mampu mempengaruhi anak muda Melayu Islam,” menurut hantaran itu.

Justeru, Sultan Sharafuddin menasihatkan supaya masyarakat menjauhi najis dadah yang disifatkan boleh merosakkan diri dan akal serta salah di sisi agama kerana tidak memberi apa-apa kebaikan terhadap individu selain mengganggu keupayaan untuk beribadah. 

Baginda bertitah pengambilan dadah jenis sintetik juga boleh mengundang berlakunya kejadian jenayah kejam dan bunuh diri yang semakin kerap dilaporkan media massa.

“Berpunca daripada dadah yang mungkin hanya ingin mencuba pada awalnya, akhirnya akan membawa kepada kerosakan yang tidak pernah dijangka, akal fikiran menjadi celaru, lemah dan lesu, rumah tangga yang dibina sekian lama boleh musnah sekelip mata. 

“... institusi keluarga runtuh tidak semena-mena, jenayah seksual menjadi biasa, lebih parah apabila ia melibatkan pemandu di atas jalan raya yang akan menyebabkan kematian diri dan pengguna jalan raya yang lain,” menurut hantaran itu.

Sultan Sharafuddin juga menyeru masyarakat untuk tidak menyisihkan golongan yang terjebak dengan ketagihan dadah malah harus memainkan peranan untuk mendidik dan membantu membina semula jati diri, mengukuhkan semula keyakinan serta memberikan mereka peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lalu. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy