EKONOMI

MIHAS@Dubai Serlah Kepimpinan, Kepakaran Malaysia Dalam Industri Halal Ke Pasaran Global

18/11/2024 06:49 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 18 Nov (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai akan menyerlahkan kepimpinan dan kepakaran Malaysia dalam industri halal kepada khalayak global.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata dengan membawa acara ikonik itu ke Dubai, pihaknya dapat menjangkau khalayak global yang pelbagai, mengembangkan capaiannya dan mewujudkan peluang-peluang rangkaian serta kerjasama baharu.

“Hari ini merupakan satu peristiwa bersejarah, menandakan kali pertama MIHAS dianjurkan di luar Malaysia. Ini benar-benar sebagai detik perintis bagi kita semua.

“Keputusan untuk menganjurkan MIHAS di luar Malaysia buat kali pertama menunjukkan komitmen kita untuk meluaskan pengaruh Malaysia dalam industri halal pada skala global. Ia mencerminkan cita-cita kita untuk mempamerkan industri halal Malaysia kepada dunia,” kata beliau dalam ucapan alu-aluannya di majlis pelancaran MIHAS@Dubai 2024 di sini, hari ini.

MIHAS@Dubai 2024 telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata penganjuran MIHAS di Dubai adalah keputusan strategik untuk memanfaatkan peranan Dubai sebagai hab perdagangan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

“Selepas 20 edisi yang berjaya di Malaysia, pengembangan ini mencerminkan visi kami untuk mengglobalkan industri halal dan memperkenalkannya kepada pasaran baharu. Ekonomi halal telah berkembang jauh daripada makanan, kini merangkumi farmaseutikal, kosmetik, kewangan dan pelancongan.

“Pengembangan ini merujuk kepada nilai sejagat yang tertanam dalam halal, iaitu keadilan, etika dan keterangkuman yang menunjukkan halal adalah relevan kepada semua tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, peluang penting untuk rakan kongsi global Malaysia adalah untuk berada dalam taman halal di Malaysia yang memainkan peranan penting bagi ekosistem halalnya.

“Dengan memiliki 14 taman yang terletak di lokasi strategik seluas 80,937 hektar, taman halal ini berfungsi sebagai hab dinamik untuk perniagaan halal, menarik perbadanan multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

"Saya sangat mengalu-alukan anda semua untuk meneroka peluang ini dan menyertai kami di Malaysia, yang mana anda boleh melabur dalam ekosistem halal yang berkembang maju yang bersedia untuk pertumbuhan, inovasi dan kemampanan,” katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata MATRADE optimis dengan kejayaan MIHAS@Dubai 2024 akan menjadi batu loncatan untuk peluang selanjutnya bagi menjalankan perniagaan dengan rakan sejawatannya di rantau ini, khususnya di Emiriah Arab Bersatu.

“Kami berhasrat untuk terus meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab halal global dan membina jambatan yang memupuk pertumbuhan bersama, kemampanan dan kemakmuran untuk industri kami yang berkembang maju,” katanya.

Selama lebih 20 tahun, beliau berkata MIHAS telah menjadi tonggak dalam memajukan industri halal Malaysia di pasaran domestik dan apabila ia melangkah ke pentas global, pameran itu menetapkan asas untuk pencapaian yang lebih besar dan kehadiran yang lebih kukuh untuk MIHAS di seluruh dunia.

“Saya juga merakamkan penghargaan ikhlas kepada 120 pembeli antarabangsa dan premium kami dari 20 negara dan kepada syarikat-syarikat Malaysia, kementerian dan agensi yang telah menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi pada pameran sulung MIHAS@Dubai 2024 ini.

"Sambil kita melihat masa depan, marilah kita terus bekerjasama, berinovasi dan membina perkongsian yang akan meningkatkan industri halal bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk komuniti global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy