PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kebimbangan Permintaan

18/11/2024 09:49 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin berikutan kenaikan harga baru-baru ini disebabkan kebimbangan mengenai permintaan yang lemah dalam beberapa minggu akan datang, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya lebih rendah di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) menyumbang kepada penurunan harga MSM.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,830 dan padas rintangan pada RM5,000," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2024 susut RM148 kepada RM4,971 satu tan, Januari 2025 turun RM161 kepada RM4,927 dan Februari 2025 merosot RM154 kepada RM4,899 setan. 

Mac 2025 jatuh RM141 kepada RM4,811 satu tan, April 2025 berkurangan RM127 kepada RM4,703 dan Mei 2025 susut RM119 kepada RM4,579 setan.

Jumlah dagangan menguncup kepada 102,222 lot daripada 112,146 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 253,787 kontrak daripada 253,114 kontrak sebelum ni.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan merosot RM90 kepada RM5,080 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy