AM

Pendigitalan Agensi, Pemerkasaan KRT Tumpuan Kementerian Perpaduan Tahun Hadapan

19/11/2024 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pendigitalan agensi terutamanya melibatkan Arkib Negara, Perpustakaan Negara dan Muzium Negara selain pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan menjadi fokus utama Kementerian Perpaduan Negara pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata langkah pendigitalan itu merupakan sebahagian usaha dalam menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke premis agensi berkenaan, terutamanya golongan belia.

Beliau berkata kunjungan ke tiga agensi itu akan dapat membantu golongan belia untuk lebih mendalami dan memahami sejarah dan kisah-kisah penting yang telah berlaku di dalam negara.

"Langkah pendigitalan itu penting dan jadi tumpuan untuk kita perkasa tahun hadapan...untuk tahun ini kita lihat dalam usaha tarik lebih ramai pelawat, Muzium Negara misalnya ambil inisiatif lakukan program dalam skala besar atau festival," katanya.

Saraswathy berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia yang disiarkan secara langsung di saluran Bernama TV hari ini dengan membincangkan topik berkaitan pencapaian Kementerian Perpaduan Negara sepanjang dua tahun Kerajaan MADANI.

Saraswathy berkata kementerian juga akan berusaha untuk mengenal pasti lebih banyak KRT yang boleh dinaik taraf sebagai KRT Progresif pada tahun hadapan.

Beliau menyatakan KRT Progresif merujuk kepada komuniti KRT yang mempunyai aktiviti menjalankan atau menceburi sebarang kegiatan ekonomi yang memberi pulangan kewangan kepada penduduk setempat.

"Untuk tahun ini kita dah ada dan bantu kira-kira 150 KRT Progresif dari aspek kewangan dan kita merancang untuk wujudkan lebih banyak lagi KRT Progresif ini yang berpotensi merancakkan ekonomi setempat," katanya.

Dalam pada itu, Saraswathy turut menjemput orang ramai untuk mengunjungi reruai Kementerian Perpaduan Negara di Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

"Pelbagai aktiviti disediakan dengan tarikan utama semestinya perkhidmatan 'cuci emas' secara percuma oleh pakar mencuci artifak yang dibawakan khas daripada Muzium Negara, jadi pengunjung boleh bawa barang kemas mereka untuk kita cuci secara percuma nanti," katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy