AM

Malaysia Halal Pavilion Di JD.com Akses Terbaharu PMKS Teroka Pasaran China

19/11/2024 12:48 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

BEIJING, 19 Nov (Bernama) -- Penyenaraian Malaysia Halal Pavilion di JD.com yang merupakan antara platform e-dagang terbesar di China, dijangka menjadi platform terbaharu kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia untuk meneroka pasaran ke republik itu dengan lebih mudah.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata inisiatif syarikat HYT Cross Border Sdn Bhd (HYT) itu diyakini mampu meningkatkan jumlah produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa, khususnya di China.

Beliau berkata usaha itu juga membolehkan PMKS Malaysia menerusi JD.com berhubung secara terus dengan pelanggan di seluruh China, sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk halal.

“Pemerhatian pihak kami mendapati produk dari Malaysia menduduki tempat lima teratas dalam senarai jualan di platform tersebut. Ini satu pencapaian membanggakan yang menunjukkan potensi besar produk halal Malaysia di pasaran antarabangsa.

“Pavilion ini bukan hanya memfokuskan kepada produk makanan halal, tetapi turut membuka peluang untuk produk lain seperti pembungkusan, bahan pembuatan, barangan elektrik dan banyak lagi. Matlamat kami untuk memperluas platform ini agar lebih ramai usahawan negara kita dapat memasarkan produk mereka di China melalui JD.com,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan HYT Datuk Danny Eng Tan Ching berkata pihaknya menyasarkan antara 380 hingga 400 produk halal akan dipasarkan di platform tersebut, dengan nilai jualan dianggarkan mencecah RM5 juta dalam tahun pertama.

“Kami telah melancarkan pavilion ini di JD.com, yang merupakan platform pertama untuk produk halal dieksport ke pasaran China secara dalam talian. Antara produk yang dipasarkan termasuk makanan, kosmetik dan penjagaan wajah.

“Dengan pelancaran pavilion halal ini, sesiapa sahaja di China kini boleh mendapatkan produk halal Malaysia. Jenama Halal Malaysia bersedia menawarkan pelbagai rangkaian produk kepada lebih 1 bilion pengguna di China melalui platform e-dagang terkenal JD.com,” katanya.

Eng turut optimis produk halal Malaysia akan mendapat tempat dalam kalangan rakyat China kerana ia dikenali di seluruh dunia atas faktor kualiti, kebersihan dan keselamatan.

“Kajian pasaran terkini juga menunjukkan terdapat permintaan tinggi terhadap makanan dan barangan halal di China. Justeru, Malaysia yang merupakan peneraju dalam produk halal yang diiktiraf secara global, berada di landasan terbaik untuk memenuhi permintaan tinggi di China,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy