SUKAN

KDN FC Berdepan Laluan Sukar Untuk Layak Ke Suku Akhir

19/11/2024 12:35 PM

KOTA BHARU, 19 Nov (Bernama) -- Ketua pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Oday Kharoub mengakui pasukannya berdepan laluan sukar pada aksi Piala Malaysia apabila dijadualkan bertemu Perak FC di peringkat kalah mati yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

Pemain Import dari Pelestin itu berkata pasukannya sedar akan kekuatan Perak FC kerana dibarisi pemain berkualiti, namun persiapan rapi telah dibuat dan berharap ia mampu membuahkan kemenangan kepada KDN FC.

"Walaupun kami sebagai tuan rumah, tetapi tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV disebabkan stadium itu mengalami masalah tertentu.

"Sudah tentu ia satu pertembungan sukar kepada kami untuk memenangi perlawanan itu dan layak ke pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini, bukan sesuatu yang mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakan sepasukannya perlu melupakan kekalahan demi kekalahan pada aksi Liga Super sebelum ini dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada saingan Piala Malaysia.

"Apa yang kami tunjukkan dalam sesi latihan akan cuba diterjemahkan ketika perlawanan berlangsung, kami perlu tunjukkan corak permainan kami bagi menewaskan lawan.

"Perlawanan ini (Piala Malaysia) cukup penting untuk kami menang bagi mengembalikan kepercayaan penyokong untuk terus memberi sokongan kepada pasukan sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy