AM

Sarawak Sasar 5 Juta Ketibaan Pengunjung Tahun Depan

19/11/2024 12:41 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Sarawak dijangka menerima ketibaan lima juta pengunjung dengan anggaran pendapatan RM12.73 bilion tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran itu susulan trend ketibaan pelawat yang menggalakkan tahun ini.

“Kementerian saya menyasarkan empat juta pengunjung pada 2024. Bagaimanapun, sukacita dimaklumkan kita mencecah 4.08 juta pengunjung pada 15 Nov.

“Pelbagai acara antarabangsa dan acara pelancongan peringkat kebangsaan, konvensyen, persidangan dan mesyuarat menghasilkan pertumbuhan mendadak ini,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Abdul Karim berkata industri pelancongan diunjurkan pulih sepenuhnya pada 2025 dengan lebih banyak perjalanan serantau, pengembara baharu muncul selain destinasi baharu apabila semua wilayah merancakkan sekor pelancongan mereka.

Beliau berkata ekonomi yang bertambah baik dan peningkatan berterusan kuasa beli merangsang trajektori menaik itu.

Sehubungan itu, pertumbuhan sektor berkenaan di Sarawak akan memberikan tumpuan kepada pelaburan dalam membangunkan tarikan pelancongan baharu dan meningkatkan tarikan sedia ada untuk mempromosi Sarawak sebagai ‘Pintu Gerbang ke Borneo’, katanya.

“Kementerian akan menyusun strategi untuk mencapai potensi penuh perjalanan domestik (berdekatan) sebelum mengalihkan tumpuannya kepada pengembara antarabangsa.

“Selain itu, kami percaya pasaran baharu perlu diteroka iaitu pasaran India dan Timur Tengah dan bukannya bergantung kepada satu pasaran sumber sedia ada. Bidang pelancongan baharu yang akan diterokai iaitu pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan kerana Sarawak terkenal dengan penjagaan perubatan yang cemerlang dan pendidikan berkualiti mampu milik,” tambahnya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy