KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain Perak FC Tommy Mawat Bada masing-masing dikenakan penggantungan tiga perlawanan selepas bergaduh pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor 10 Nov lepas.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan kedua-dua pemain itu telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan permainan adil.
Mengikut kenyataan berkenaan, pada pertembungan yang dimenangi JDT dengan keputusan 5-0 itu, Arif Aiman didapati menumbuk di bahagian muka sebelah kiri Tommy Mawat manakala Tommy Mawat pula didapati menanduk kepala dan mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman.
“Pemain-pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dalam kenyataan itu.
Berdasarkan kenyataan itu, hukuman penggantungan perlawanan menyaksikan Arif Aiman terlepas aksi pertama dan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2024/2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 Nov serta aksi Liga Super berdepan Kuala Lumpur City FC pada 8 Dis.
Tommy Mawat pula akan terlepas perlawanan pertama dan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2024/2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 Nov serta perlawanan Liga Super bertemu Kedah Darul Aman FC pada 4 Dis.
Bagaimanapun, FAM berkata tarikh-tarikh yang dinyatakan adalah tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan.
-- BERNAMA