EKONOMI

Kilang Kelapa Sawit Disaran Guna Teknologi AI - Johari

19/11/2024 03:46 PM

KUALA KANGSAR, 19 Nov (Bernama) -- Kilang-kilang kelapa sawit dalam negara disaran menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memproses buah sawit kerana dapat mengurangkan kos dan meningkatkan hasil.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kilang kelapa sawit Minsawi Industries (Kuala Kangsar) Sdn Bhd dipacu teknologi AI oleh AIREI Sdn Bhd (AIREI) adalah contoh terbaik kepada kilang kelapa sawit lain dari segi penggunaan teknologi AI ketika memproses minyak sawit.

“Ini adalah pertama di dunia...kilang kelapa sawit (Minsawi Industries) menggunakan AI kemudian serta penggunaaan beberapa peralatan moden lain untuk memproses kelapa sawit.

“Jika AI efektif dan berkesan, pemegang taruh dalam industri ini harus memberi perhatian terhadap sistem berkenaan kerana kita mempunyai 446 kilang sawit (dalam negara)...ini adalah kilang sawit pertama menggunakan AI, sensor dan pelbagai teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kilang Minyak Sawit Pintar Pertama di Dunia Berasaskan AI hasil kerjasama Minsawi Industries dan AIREI di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIREI Sdn Bhd Surendran Kuranadan serta Pengarah Minsawi Industries Datuk B. Sahadivanaidu dan Datuk Kili Rathna Raj.

Johari berkata berdasarkan teknologi AI di kilang itu, ia mampu mengurangkan pekerja kilang terutamanya pekerja asing hampir 30 ke 35 peratus sekali gus mengutamakan kepakaran pekerja tempatan untuk mengendalikan teknologi berkenaan.

“Justeru, kilang sebesar ini dapat kurangkan pekerja antara 30 hingga 35 peratus dan menghasilkan kecekapan dari segi pengeluaran minyak, meningkatkan pendapatan serta memaksimumkan pengeluaran mereka.

“Selain itu, disebabkan pengurangan jumlah pekerja, ia dapat penjimatan kos overhed hampir 35 peratus,” katanya.

Johari berkata beliau dimaklumkan kesan daripada pengurangan pekerja asing itu juga mampu menjimatkan banyak kos, antaranya kos tenaga elektrik, air dan penyelenggaraan.

“Sekiranya 446 kilang-kilang kelapa sawit ini boleh menggunakan teknologi ini dan berkesan, ia boleh mengurangkan hampir 8,000 pekerja asing dalam kilang kelapa sawit...ia satu jumlah yang besar,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia, bagaimanapun dari segi konsep pengoperasian kilang Minsawi Industries dengan kerjasama AIREI itu merupakan yang pertama di dunia.

“Hasil akan meningkat (menerusi teknologi AI) kerana kehilangan minyak dalam pemprosesan itu akan berkurangan sebab setiap kali ada indikator kehilangan minyak itu meningkat, mereka boleh hentikan dan mencari punca masalah tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy